Bola sepak di Malaysia bukan boleh buat duit, buang duit adalah – Fairuz Montana

2,020

Ketua jurulatih Kelana United FC, Fairuz Montana mengakui bahawa sukan bola sepak di negara ini bukanlah satu prospek untuk menjana kewangan buat pemilik kelab atau pelabur.

Menurutnya, pelaburan dalam arena bola sepak di Malaysia adalah untuk mereka yang mempunyai minat yang tinggi kerana ia memerlukan wang yang banyak dengan pulangan yang tidak pasti.


“Kita tahu bola sepak di Malaysia ini bukan boleh buat duit, buang duit adalah, disebabkan itu saya beri kredit kepada pemilik kelab, Datuk Rosal Hazimin.

Susah untuk memastikan kelangsungan kelab kecil seperti kami tetapi beliau berjaya membawa kami bertahan sehingga lapan tahun,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, Rosal merupakan seorang yang ‘sedar diri’ akan kemampuan kelab dan memastikan kelab itu hanya bersaing di tahap yang termampu.

Fairuz berkata, beliau pernah bertanya kepada Rosal sama ada ingin membawa kelab itu bermain dalam Liga M3, tetapi Rosal mengatakan bahawa belum cukup bersedia.

Beliau berharap kelab itu akan pergi lebih jauh lagi selepas ini, terutama selepas menambah dua lagi pasukan iaitu skuad B-19 dan skuad wanita.

“Saya terkejut apabila pemilik kelab membuat keputusan untuk tubuhkan pasukan wanita, dan rezeki kami dapat tarik jurulatih daripada FAM.

Saya berharap semua pasukan Kelana United dapat mencapai KPI yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.”

Tambahnya, biarpun bermain di liga sosial, Kelana United sentiasa mempunyai sasaran yang tinggi, iaitu untuk menjuarai kejohanan yang disertainya.