Hadi Fayyadh sah perkuat barisan serangan Perak FC

676

Penyerang muda negara yang berkelana di Jepun, Hadi Fayyadh akhirnya telah pulang ke tanah air apabila beliau kini sah bergelar sebagai pemain baru pasukan Perak FC untuk musim 2023.

Kelibat pemain berusia 22 tahun itu muncul dalam majlis pelancaran jersi Perak bagi musim ini yang berlangsung sebentar tadi, sekaligus menjawab persoalan ramai mengenai perkembangan beliau yang sebelum ini berkelana ke Jepun sejak 2019.


Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT II) itu berhijrah ke Jepun untuk menyertai kelab divisyen dua J2 League, Fagiano Okayama, namun beliau kemudian telah dipinjamkan ke kelab divisyen tiga J3 League, Azul Claro Numazu.

Hadi bagaimanapun tidak mendapat tempat dan hanya membuat satu penampilan sahaja bersama kelab itu sebagai pemain gantian.

Mungkin atas faktor tersebut beliau mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan memilih skuad The Bos Gaurus sebagai pasukan barunya dengan harapan dapat meningkatkan lagi kualiti permainannya di bawah kendalian Lim Teong Kim.

Selain Hadi, seorang lagi pemain muda negara iaitu Muhammad Rafieq Al-Amzar juga sudah kembali pulang ke tanah air musim ini.

Beliau yang sebelum ini beraksi bersama kelab NK Zvijezda Gradacac di Bosnia and Herzegovina akan menyarung jersi skuad B-23 Kedah Darul Aman FC.

Dalam pada itu, walaupaun dua pemain pulang ke tanah air, namun beberapa pemain yang beraksi di Liga Super musim lalu akan berhijrah ke luar negara.

Antaranya Safawi Rasid yang akan dipinjamkan ke Ratchaburi FC di Thai League 1 dan Kogileswaran Raj yang baru sahaja menandatangani kontrak bersama kelab Chungbuk Cheongju yang beraksi di K-League 2.

Junior Eldstal dan Liridon Krasniqi pula akan dipinjamkan ke PT Prachuap FC dan Khon Kaen United di Thai League 1, manakala Zafuan Azeman pula akan menyarung jersi Uthai Thani FC di Thai League 2.

Sementara itu, kini tinggal Luqman Hakim sahaja pemain negara yang bermain di Eropah bersama K.V. Kortrijk di liga utama Belgium. Diharap beliau akan terus kekal di Eropah untuk timba ilmu sebanyak yang mungkin kerana beliau masih muda.