Sukar dapat tempat, Omar Raiyan kini diserap ke kelab feeder Red Star Belgrade

1,188

Selepas beberapa tahun berkelana di Red Star Belgrade, ‘wonderkid’ Malaysia, Omar Raiyan secara rasmi telah diserap ke kelab feeder berkenaan, RFK Graficar Beograd.

Pemain berusia 19 tahun itu dilihat telah bergambar bersama skuad RFK Graficar dalam foto rasmi pasukan itu yang bermain di divisyen kedua Serbian Super League.


Terdahulu, Omar memulakan karier bola sepak remajanya di akademi Manchester City di Abu Dhabi dan merupakan pemain berpotensi besar.

Sepanjang kariernya di akademi Manchester City, beliau telah dinobat sebagai pemain terbaik tahunan akademi itu serta mendapat gelaran Player of the Team sebanyak empat kali.

Prestasi cemerlangnya telah menyaksikan beliau telah menarik minat kelab di Serbia, Red Star Belgrade yang telah membawa masuknya ke skuad B-21.

Pada bulan Oktober tahun lalu, beliau telah menandatagani kontrak bersama kelab tersebut, namun mungkin disebabkan sukar mendapat tempat dek persaingan sengit dalam skuad utama menjadi punca beliau diserap ke kelab feeder yang beraksi di liga divisyen dua.

Walaupun ada yang akan berpandangan prestasi beliau seakan-akan merudum, namun keputusan untuk meletakkan Omar dalam skuad feeder mungkin adalah pecaturan tepat kerana beliau berkemungkinan besar akan mendapat minit permainan yang banyak berbanding kekal di Red Star Belgrade dengan hanya memanaskan bangku simpanan.

Dalam pada itu, Omar juga sudah membuat penampilan bersama skuad Harimau Muda dan menyertai kejohanan Piala AFF B-19 tahun lalu di Indonesia.

Biarpun dilihat sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dalam skuad negara, namun komitmen yang diberikan pemain itu mendapat pujian ketua jurulatih skuad B-19 iaitu Hassan Sazali Waras.

Diharap dengan cabaran baru musim ini bersama RFK Graficar Beograd dapat mengembalikan prestasi terbaik Omar sekaligus membuka peluang buat dirinya untuk sekali lagi menyarung jersi kebangsaan.