Perjuangan pemain tetap diteruskan walaupun PJ City FC kini menjadi sejarah

444

Bekas pemain PJ City FC, Kogileswaran Raj sah akan bermain di K League 2 apabila berjaya mengikat kontrak selama semusim bersama Chungbuk Cheongju FC.

Kogileswaran telah menandatangani kontrak di Bangkok, Thailand dan akan turut serta bersama kelab mengharungi latihan pramusim di sana.


Sebelum ini, PJ City mengumumkan penarikan diri dari bersaing dalam kancah Liga Malaysia untuk musim 2023.

Perkara itu disahkan oleh Presiden PJ City, Dato’ Sri Subahan Kamal yang mendedahkan bahawa punca kelab itu menarik diri adalah bukan kerana masalah kewangan.

PJ City musim lalu menduduki tangga kesembilan liga dengan rekod enam kemenangan, lapan seri dan lapan kekalahan.

Musim ini memperlihatkan bekas pemain-pemain PJ City menjadi buruan kelab-kelab yang akan bersaing di Liga Malaysia.

Beberapa pemain kini telahpun berhijrah ke pasukan lain setelah pasukan yang berpengkalan di Petaling Jaya itu memutuskan untuk tidak bertanding lagi musim ini.

Antaranya adalah Mahali Jasuli, Aroon Kumar, Barathkumar dan Zainal Abidin yang memilih untuk bersama skuad Negeri Sembilan FC (NSFC).

Selain itu, Sabah FC pula membawa masuk penyerang utama skuad kebangsaan, Darren Lok dan S. Kumaahran ke dalam skuad musim ini.

Seterusnya, dua penjaga gol pula memilih untuk ke utara Malaysia dimana Kedah Darul Aman FC (KDAFC) menjadi destinasi Kalamullah Al Hafiz dan Azfar Arif memilih untuk bersama dengan skuad Harimau Kumbang, Penang FC.

Pemain Harimau Malaya, Ruventhiran juga mengikat kontrak bersama Selangor FC musim ini.

Perak FC juga membawa masuk Shivan Pillay dan Sunil Chandran untuk beraksi di bawah skuad kendalian Lim Teong Kim.

Harini FT yang bermain di Liga M3 juga memborong pemain dari kelab itu. Antara pemain yang dibawa masuk adalah pemain pertahanan, Kugan Dhevarajan, Prabakaran dan Tamilmaran.

Walaubagaimana pun, masih ada beberapa bekas pemain PJ City yang sehingga kini masih belum menerima khabar mereka bermain di kelab mana.

Sebagai contoh pemain seperti Khyril Muhymeen, K. Gurusamy, Nasir Basharudin, Kannan Kalaiselvan dan Syahmi Zamri.

Ini pastinya satu kerugian buat mereka yang masih setia bersama kelab itu selepas terdapat khabar angin yang mengatakan ada pihak mahu mengambil alih pasukan itu dan kekal di Liga Super.

Sebelum ini, Shah Alam City dan Harini FT dilaporkan berminat untuk mengambil alih The Phoenix tetapi tiada sebarang perkembangan terkini mengenai perkara itu.

Biarpun ketiadaan PJ City, saingan Liga Super akan tetap berjalan dengan 14 pasukan akan bersaing bagi merebut takhta liga.