Tak nak kalah kepada Al-Nassr, Al-Hilal sanggup tawar RM1.34 billion setahun kepada Lionel Messi

2,217

Baru-baru ini, dunia bola sepak dikejutkan dengan tawaran dari sebuah kelab di Arab Saudi iaitu Al-Hilal untuk mendapatkan khidmat bintang Lionel Messi untuk bermain disana.

Al-Hilal dilaporkan bersedia untuk menawarkan kontrak ‘gila’ kepada bintang Argentina itu bernilai £288 juta atau bersamaan RM1.34 bilion setahun.


Sekiranya ia menjadi realiti, maka Messi akan mengalahkan kontrak yang ditawarkan kepada seterunya di padang, Cristiano Ronaldo sebanyak €173 juta RM810 juta setahun bersama Al-Nassr.

Pemenang Piala Dunia 2022 itu bagaimanapun sebelum ini dilaporkan akan menandatangani kontrak lanjutan bersama Paris Saint-Germain selama setahun lagi sehingga musim 2023/2024.

Dengan tawaran mega seperti itu, tidak mustahil satu hari nanti Messi juga akan mengikut jejak Ronaldo untuk memeriahkan Saudi Pro League, di samping mengumpul kekayaan untuk hari tua.

Hal ini bukanlah suatu yang perlu dihairankan kerana Messi adalah seorang pemain yang mempunyai rekod cemerlang dalam dunia bola sepak.

Al-Hilal merupakan pencabar utama Al-Nassr dalam saingan Saudi Pro League dan mereka juga adalah dua kelab besar yang beraksi dalam AFC Champions League (ACL).

Selepas Ronaldo mengejutkan dunia dengan perpindahan ke Al-Nassr, Al-Hilal juga mahu membuat perkara sama mahu membawa masuk pemain terbaik di dunia.

Kemasukan bintang bola sepak dunia ke liga di Timur Tengah menyaksikan Saudi Pro League kini mendapat liputan meluas daripada media di seluruh dunia.

Sebagai contoh, pelaburan besar Al-Nassr telah pun membuahkan hasil apabila dahulunya laman sosial Instagram milik mereka hanya mempunyai pengikut di bawah 100,000, namun selepas kemasukan Ronaldo jumlah tersebut meningkat kepada 11.5 juta pengikut.

Malah kelab juga sudah mula menjana pendapatan menerusi jualan jersi yang habis terjual dalam tempoh singkat sehingga menyebabkn masih ramai yang tidak berkesempatan untuk beli.

Perlawanan Saudi Pro League yang sebelum ini sering dipandang sepi kini sudah mula disiarkan secara langsung di saluran-saluran sukan terkenal, jadi ternyata kemasukan pemenangan lima kali Ballon d’Or ke Al-Nassr adalah satu keputusan yang cukup tepat.

Bukan sahaja Al-Nassr sahaja yang meraih populariti dalam tempoh singkat, tetapi pasukan lain dan Saudi Pro League sendiri turut terkena tempiasnya.

Kini peminat bola sepak terutamanya peminat Ronaldo sudah pastinya akan menyaksikan perlawanan-perlawanan membabitkan pasukan Al-Nassr.

Tidak mustahil dalam tempoh beberapa tahun ini lebih banyak bintang bola sepak dunia akan beraksi dalam liga di negara Arab.