Tarik minat Leicester City, namun peraturan FA England sukarkan Suphanat Muenta layak beraksi di EPL, tetapi ada caranya

2,256

Ketika Liga Thailand sedang berehat sejak Disember lalu bagi memberi laluan kepada Piala AFF, penyandang juara liga, Buriram United menghantar lima pemainnya untuk menyertai sesi latihan di England bersama pasukan Leicester City.

Lima pemain yang terpilih adalah Suphanat Muenta, Supachai Jaided, Narubadin Weerawatnodom, Rattanakorn Maikami dan Chitiphat Tangklang untuk berlatih di sana selama sebulan.


Selepas tempoh sebulan itu tamat, Suphanat dilaporkan menjadi satu-satunya pemain yang tempoh latihannya dilanjutkan untuk terus kekal di England kerana merupakan pemain yang paling menonjol dan mempunyai potensi yang besar.

Menurut presiden Buriram United, Newin Chidchob, pemain itu mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi pemain Thailand pertama yang beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Ini kerana beliau menerima maklum balas positif daripada pihak Leicester City mengenai prestasi pemain itu ketika sesi latihan tersebut.

Namun, persoalan timbul sama ada Suphanat, yang merupakan salah seorang pemain muda terbaik di Asia Tenggara, layak untuk beraksi di liga terkemuka dunia itu kerana peraturan ketat untuk mendapatkan permit.

Persatuan Bola Sepak England (FA England) menetapkan beberapa kriteria untuk mendapatkan permit untuk beraksi di EPL bagi bukan pemegang pasport Kesatuan Eropah (EU).

Pertama, adalah berdasarkan penampilan bersama pasukan kebangsaan, berdasarkan ranking dunia pasukan kebangsaan pemain berkenaan untuk mendapat status ‘Auto Pass’ atau dibenarkan untuk mendapatkan permit terus.

Berdasarkan ranking negara Thailand ketika ini iaitu di kedudukan 111 dunia, justeru Suphanat jelas tidak layak mendapatkan permit secara terus.

Bagi pemain yang tidak layak mendapat status ‘Auto Pass’, mereka akan dinilai berdasarkan mata daripada lima kriteria berbeza bersama kelab yang mereka wakili iaitu minit penampilan domestik, minit penampilan saingan antarabangsa kelab (dalam kes ini ACL), kedudukan terakhir kelab dalam liga, prestasi kelab dalam saingan antarabangsa kelab dan band kelab berdasarkan ketetapan FA England.

Suphanat perlu mengutip mata minimum sebanyak 15 mata untuk melayakkannya mendapat permit beraksi di EPL.

Namun, jika dikumpulkan mata yang diperolehi Suphanat, beliau hanya mempunyai lima mata sahaja, lebih-lebih lagi kerana Buriram United tidak beraksi di saingan ACL musim lalu, justeru tidak layak beraksi di EPL.

Namun di dalam buku panduan FA England ada menyatakan, “Panel Pengecualian hanya akan mengesyorkan kepada FA bahawa GBE (Governing Body Endorsement) diberikan jika ia berpuas hati bahawa sama ada keadaan luar biasa menghalang pemain daripada mencapai 15 mata.”

“Jika keadaan luar biasa itu tidak dikira, pemain boleh mencapai 15 mata; atau pemain belia yang menunjukkan potensi yang besar dan mempunyai kualiti yang mencukupi untuk mewajarkan Panel Pengecualian mengesyorkan agar GBE diberikan.

Namun pengecualian tersebut adalah sesuatu yang subjektif dan berdasarkan penilaian panel, justeru ia mungkin agak sukar buat Suphanat.

Cara terakhir buatnya untuk mendapatkan permit beraksi di EPL adalah dengan berpindah ke liga lain di Eropah terlebih dahulu yang tidak mempunyai peraturan seketat EPL dan beraksi beberapa tahun di sana, barulah kembali ke EPL semula.

Dengan minat yang ditunjukkan oleh pihak Leicester City terhadapnya dalam sesi latihan tersebut, tidak mustahil mereka berminat untuk menandatangani pemain itu dan meminjamkannya ke kelab lain terlebih dahulu.

Ia satu perjalanan yang panjang, tetapi sekiranya beliau mampu merealisasikan impian itu, ia bakal menjadi satu sejarah buat bola sepak di Asia Tenggara dan juga kejayaan yang besar untuk bola sepak Thailand.

Beliau juga mampu membuka pintu buat lebih ramai lagi pemain di Asia Tenggara untuk turut bekerja keras dan memasang impian beraksi di England.

Pada pertengahan tahun lalu, Suphanat diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama Leicester B-23 pada aksi persahabatan pra musim menentang kelab divisyen tujuh liga England, Barwell yang berkesudahan 1-1, juga ketika tempoh latihan selama sebulan.

Minat yang ditunjukkan Leicester kepada Suphanat jelas membuktikan beliau merupakan seorang pemain yang berbakat besar.