Terkilan pencapaian atlet boling tidak dipandang, ke mana saja kami pergi kami sentiasa ‘perform’ – Syaidatul Afifah

430

Bekas pemain boling kebangsaan, Syaidatul Afifah mengakui terkilan dengan ‘layanan kelas kedua’ terhadap pemain boling kerana pencapaian mereka tidak begitu dipandang tinggi oleh pihak-pihak berkenaan.

Menurutnya, atlet-atlet boling negara sentiasa mengharumkan nama negara dan menyumbang pingat di kejohanan-kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Dunia tetapi tidak mendapat penghargaan seperti sukan-sukan yang lebih popular.


“Memang saya amat terkilan kerana pencapaian pemain boling tidak mendapat perhatian orang ramai dan pihak atasan.

Kejohanan mana yang kami pergi pasti kami akan tunjukkan persembahan yang baik dan bawa pulang pingat emas, tidak kiralah Sukan SEA, Sukan Asia mahupun kejohanan dunia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau setuju, sekiranya atlet dari sukan lain yang lebih popular mempamerkan prestasi yang baik seperti mereka, sudah tentu akan menerima penghargaan yang lebih dan mungkin menerima pelbagai gelaran.

Tambahnya, pencapaian atlet boling juga sepatutnya direkodkan dan disimpan serta dihargai dengan lebih baik oleh pihak berwajib.

“Walaupun sukan boling tiada dalam Olimpik, tetapi Malaysia sudah melahirkan ramai pemain berkelas dunia.

Jangan disebbabkan terdapat sukan lain yang lebih popular, pencapaian atlet-atlet boling tidak dipandang.”

Syaidatul merupakan salah seorang pemain boling negara yang sentiasa mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Antara sumbangan beliau adalah memenangi pingat emas berpasangan wanita dalam Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, serta merangkul pingat emas pada Sukan Asia 2018 Palembang menerusi acara trio berpasukan wanita.

Beliau juga pernah memenangi pingat emas dalam acara lima berpasukan di Kejohanan Dunia 2017 Las vegas.