Theerathon bertengkar dengan ‘penyokong kasual’ untuk lindungi penyokong Malaysia dari provokasi – Nazimuddin & Fahmi

2,692

Walaupun Malaysia tersingkir di separuh akhir selepas tewas kepada Thailand 3-0 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 baru-baru ini, semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Malaysia pada perlawanan tersebut berjaya meletakkan anam negara di mata dunia.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memuji tindakan penyokong Malaysia yang mendedikasikan lagu untuk pasukan Thailand selepas perlawanan itu sebagai tanda tahniah.


Tindakan mereka mendapat pujian seluruh peminat bola sepak dunia terutama Asia Tenggara dan Thailand sendiri atas semangat kesukanan yang ditunjukkan.

Berkongsi kepada Harimau Malaya, dua penyokong Harimau Malaya, Nazimuddin Nazaruddin dan Muhammad Fahmi Che Hisham, yang turut ke perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Thammasat itu berkata, ia adalah perasaan yang cukup membanggakan apabila diberi penghormatan seperti itu.

Bukan saja FIFA, mereka juga turut dihargai oleh pemain-pemain Thailand yang berdiri dan bertepuk tangan ketika mereka menyanyikan lagu tersebut.

Namun, mereka menceritakan bahawa ketika perlawanan terdapat ‘penyokong kasual’ yang sering kali melakukan provokasi tanpa henti kepada penyokong Malaysia ketika itu.

“Ada satu bahagian di sebelah Ultras Malaya di mana ‘penyokong kasual’ duduk, dan ada seorang lelaki ini beliau hanya melakukan provokasi sepanjang perlawanan, tidak fokus kepada perlawanan pun.

Yang lain di belakangnya juga ada melakukan provokasi tetapi dia seorang yang paling semangat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, provokasi yang dilakukan oleh lelaki itu berlangsung sehinggalah tamat perlawanan sehinggakan kapten Thailand, Theerathon Bunmathan terpaksa menenangkannya.

Katanya, selepas perlawanan, Theerathon berlari ke arah penyokong kasual itu untuk mengarahkannya supaya berhenti sehingga berlaku sedikit pertengkaran antara mereka.

“Selepas perlawanan Theerathon nampak ada konflik sedikit antara penyokong Malaysia dan ‘penyokong kasual’ itu, dan terus berlari lalu menyuruhnya untuk berhenti melakukan provokasi.

Ada pertengkaran sikit antara mereka tetapi akhirnya beliau akur terhadap kata-kata Theerathon dan menghentikan provokasi.”

Beliau berkata pengalaman itu sangat berharga dan menyifatkan penyokong Thailand secara keseluruhannya adalah penyokong yang ramah dan bertamadun.

Beliau berkata, tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan mereka semua berasa selamat ketika berada di luar dan dalam stadium.