Gaji musim 2022 tertunggak sampai empat bulan, SUFC hanya buat tiga pembayaran sepanjang musim – Pemain Sarawak United FC

390

Beberapa pemain Sarawak United FC mendedahkan bahawa mereka masih mengalami tunggakan gaji sehingga sekarang dengan pembayaran terakhir dibuat pada bulan Ogos lalu.

Menurut bekas penjaga golnya, Tauffiq Ar Rasyid, pada musim 2022, mereka hanya menerima tiga bayaran sahaja iaitu pada bulan Februari, Mac dan terakhir Ogos.


Katanya, terdapat pemain yang kini sudah tiga bulan tidak mendapat gaji, manakala sebilangan sudah empat bulan.

“Gaji saya sendiri sudah tiga bulan sangkut, ada pemain lain yang empat bulan. Pembayaran terakhir adalam pada bulan Ogos lalu, pada musim 2022 hanya gaji bulan Mac yang dibayar pada masanya.

“Perlawanan terakhir musim lalu adalah pada bulan September, lepas tu kami ada tanya kepada pihak pengurusan mengenai gaji, tetapi mereka janji nak bayar hujung bulan Disember secara keseluruhan. Kemudian kami terima surat lain yang mengatakan tunggakan akan dibayar secara berperingkat, kami tak kisah dah yang penting lakukanlah pembayaran itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, sehingga sekarang pihak pengurusan berdiam diri daripada memberi penjelasan kepada para pemain dan staf lain mengenai tunggakan gaji.

Seorang lagi bekas pemain Sarawak United, Raja Imran Shah mengakui ada arahan daripada pihak atasan untuk pemain tidak menyuarakan mengenai isu tunggakan gaji tetapi sudah tidak boleh mendiamkan diri.

“Kami dah cuba tanya tetapi tiada jawapan dari pihak atasan, memang ada arahan untuk tidak mendedahkan tentang perkara ini, dalam kontrak pun telah tertulis pemain tidak boleh burukkan imej kelab.

Saya dah cuba jaga imej kelab tetapi sampai sekarang tiada perkembangan mengenai tunggakan gaji kami. Sekarang ni pun saya dah habis kontrak dan isu ini pun dah lama sangat berlarutan jadi saya mahu bersuara.”

Sementara itu, seorang lagi penjaga gol, Sharbinee Allawee berkata, isu tunggakan gaji ini sebenarnya sudah berlaku pada musim 2021 lagi tetapi tidak seteruk kali ini.

Menurutnya, pada musim 2021, pihak kelab akan cuba sedaya upaya untuk mencari dana bagi menyelesaikan tunggakan gaji, namun kali ini mereka ibarat mahu lepas tangan.

“Pada musim 2021 kita ada juga nampak usaha pihak pengurusan nak bayar tunggakan gaji, mereka sampai jual apa yang perlu untuk cari dana.

Tetapi pihak pengurusan musim lalu hanya senyap terus, macam tiada usaha nak selesaikan masalah ini, mereka macam takut dan seolah-olah hanya tunggu wang dari kerajaan negeri.”

Sharbinee juga mengakui beliau kini berani bersuara kerana kontraknya dengan pasukan sudah tamat.

Dalam pada itu, Stuart Wark pula berkata, pihak kelab ada berhubung dengan mereka tetapi menggunakan orang tengah.

Menurutnya, ia tidak boleh diterima kerana orang tengah itu pun tidak dibayar gaji dan tidak boleh menjawab banyak mengenai tunggakan gaji tersebut.

“Mereka tak balas mesej saya, mereka hanya berkomunikasi menggunakan orang tengah tetapi dia pun bukan daripada pengurusan tertinggi dan gajinya juga tidak dibayar.

Memang jawapan yang diberikan pun tidak memuaskan kerana ia bukan dari pihak atasan.”

Tambahnya, beliau juga terpaksa menyimpan wang untuk bertahan selama beberapa bulan kerana perkara ini kerap berlaku dan sudah dijangka.

Sarawak United sebelum ini tidak diberikan Lesen Kebangsaan untuk menyertai Liga Super 2023 selepas gagal memenuhi keperluan yang ditetapkan untuk mendapatkan kelulusan.

Sebelum ini, kelab itu juga pernah dikenakan dendan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan tunggakan gaji terhadap bekas pemain mereka iaitu Sandro Da Silva.