Setiap kelab yang bersaing di Liga Super wajib ada padang latihan sendiri

779

Liga Super Malaysia kini merupakan liga bola sepak terbaik di Asia Tenggara (ASEAN) mengatasi liga dari negara jiran termasuk Thai League 1, V,League 1, Liga 1 Indonesia dan juga Singapore Premier League.

Namun, tahukah anda bahawa hanya ada tiga kelab sahaja yang mempunyai pusat ataupun fasiliti latihan sendiri iaitu, Johor Darul Ta’zim (JDT) Selangor FC (SFC), dan Terengganu FC (TFC), manakala selebihnya masih menggunakan fasiliti yang disewa.


Situasi semasa tidak mencerminkan status Liga Super Malaysia sebagai liga nombor satu ASEAN berikutan majoriti kelab di Liga Super masih belum mempunyai fasilti padang latihan sendiri, sedangkan liga di negara jiran majoritinya mempunyai fasilti latihan milik kelab itu sendiri.

Malah liga di negara Brunei kini juga sedang ke arah lebih profesional apabila Persatuan Bola Sepak Brunei Darulssalam (FABD) baru-baru ini telah mewajibkan setiap pasukan yang bertanding dalam Brunei Super League mempunyai fasilti latihan sendiri, ‘1 Club, 1 Training Ground’.

Kriteria yang ditetapkan oleh FABD itu satu pekara yang cukup positif untuk pembangunan bola sepak di negara itu.

Pengelola Liga Super, Malaysian Football League (MFL) boleh mengikut jejak langkah yang dilakukan oleh FABD dengan mewajibkan setiap pasukan yang bertanding mempunyai fasiliti padang latihan sendiri.

Pentingnya ada fasiliti sendiri adalah untuk memastikan pemain-pemain dapat menjalani yang latihan berkualiti berikutan keadaan padang yang dikhususkan untuk bola sepak sahaja, tidak seperti padang latihan yang disewa ketika ini yang bukan sahaja digunakan untuk sukan bola sepak sahaja tetapi ada juga digunakan sukan lain yang boleh menyebabkan kualiti padang terjejas.

Jika mempunyai fasilti yang berkualiti, perkara paling penting yang dapat dielakkan adalah kekerapan pemain mengalami kecerderaan, sekaligus memastikan ketua jurulatih dapat menurunkan pemain terbaik dalam setiap perlawanan.

Bukan itu sahaja, pemain juga akan mempunyai bilik persalinan mereka supaya ianya lebih selesa untuk mereka sebelum dan selepas tamat menjalani latihan kerana sebelum ini terdapat khabar yang mengatakan ada pemain yang terpaksa menyalin pakaian mereka di dalam kereta kerana tidak mempunyai bilik persalinan.

Diharap inisiatif seperti ini akan disambut baik oleh pihak MFL dan juga membuka mata kelab-kelab kerana dengan adanya fasiliti latihan sendiri ianya dapat membantu pembangunan bola sepak negara ke arah yang lebih baik.