Haqimi Azim kekal di KL City FC musim ini

490

Berita gembira buat peminat KL City FC apabila penyerang muda mereka, Haqimi Azim sah akan kekal bersama skuad itu bagi menghadapi musim baru Liga Super 2023.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Haqimi sekaligus menafikan spekulasi yang mendakwa beliau akan berhijrah ke Penang FC sebelum ini.


”Saya akan kekal di KL City musim ni. Saya ke Pulau Pinang untuk bercuti bersama keluarga,” katanya ringkas kepada Harimau Malaya.

Terdahulu kecoh di media sosial mengenai spekulasi penyerang kebangsaan itu berhijrah ke skuad Harimau Kumbang itu selepas memuat naik foto dengan kapsyen “Off to Penang”.

Foto berserta kapsyen tersebut telah mencetuskan keterujaan peminat Penang dan telah menimbulkan persoalan di kalangan peminat The City Boys.

Baru-baru ini penyerang berusia 20 tahun itu telah menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan selepas beliau mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen Piala AFF 2022 baru-baru ini.

Walaupun skuad Harimau Malaya kandas di peringkat separuh akhir selepas tewas 3-1 secara agregat kepada Thailand, namun persembahan pemain lain termasuk Hakimi mendapat pujian.

Sepanjang kempen Piala AFF, penyerang berusia 20 tahun itu telah melakukan sebanyak empat penampilan dan telah berjaya menjaringkan satu gol.

Manakala untuk KL City, Haqimi telah membuat 11 penampilan dengan satu jaringan dalam kempen Liga Super dan empat penampilan serta satu gol dalam kempen Piala Malaysia.

Selain itu, beliau juga telah membuat dua penampilan dalam kempen Piala AFC 2022 serta satu penampilan di Piala Sumbangsih.