SUFC hutang lima bulan gaji, insurans tak bayar sampai saya kena keluar sendiri RM180,000 untuk rawatan – B. Sathianathan

3,226

Selepas beberapa pemain Sarawak United FC melakukan pembongkaran mengenai tunggakan gaji kepada Harimau Malaya semalam, perkara itu mendapat perhatian bekas ketua jurulatih kelab itu, B. Sathianathan.

Sathianathan mendedahkan bahawa kelab itu berhutang dengannya lima bulan gaji tidak termasuk lain-lain pembayaran seperti insurans dan cukai pendapatan.


Katanya beliau sudah beberapa kali dijanjikan oleh pihak pengurusan bahawa mereka akan menyelesaikan pembayaran, tetapi akhirnya hanya berdiam diri.

“Kelab berhutang dengan saya lima bulan gaji, selain itu duit insurans pun tak bayar sampai saya terpaksa keluarkan RM180,000 untuk kos rawatan.

Duit cukai pendapatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga sama, dalam dua tahun saya bekerja di sana, hanya dua bulan saja wang cukai pendapatan saya dibayar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu, Sathianathan turut mendedahkan bahawa beliau sebelum ini pernah mengeluarkan wang sebanyak RM46,000 untuk diberi kepada para pemain sebagai wang pendahuluan.

Kelab kemudiannya memotong wang pendahuluan tersebut daripada gaji para pemain, tetapi tidak diberikan kepadanya semula.

Sathianathan berkata, setakat ini usaha beliau untuk menuntut kembali haknya adalah melalui aduan kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya hanya boleh menuntut hak saya melalui Jawatankuasa Status FAM tetapi ini akan memakan masa. Bukan saya seorang saja, jurulatih dan staf lain juga ada yang gaji mereka sangkut sehingga empat bulan.

Saya ada nasihatkan pemain-pemain buat aduan melalui media sosial untuk minta bantuan kerajaan Sarawak supaya mereka ambil tindakan, tetapi pemain tempatan Sarawak tak berani.”

Menurut Sathianathan, beliau kasihan melihat pemain-pemain muda yang terpaksa berhenti dan menjadi penghantar makanan kerana masalah ini.

“Pada tahun 2022, saya beberapa kali bantu pemain-pemain muda dan staf lain dari segi kewangan untuk mereka makan dan isi minyak kenderaan.

Saya kesian pemain Piala Presiden yang berhenti untuk bekerja sebagai penghantar makanan kerana tak dapat elaun.”

Sementara itu, beliau mempersoalkan ke mana hilangnya dana berjuta-juta yang diberi oleh kerajaan Sarawak kepada kelab berkenaan, terutama presiden kelab, Datuk Posa Majais.

Beliau hairan walaupun kelab itu hanya menggunakan bajet kecil untuk mengharungi saingan liga, wang tidak pernah mencukupi.

“Untuk musim 2022, beliau (Posa Majais) minta kita potong 50 peratus daripada bajet tahun sebelumnya.

Belanja kelab untuk pasukan Piala Presiden dan Belia ditanggung 80% oleh SSC (Sarawak Sports Corporation) tetapi ia masih tak cukup, ini mesti ada yang tak kena.”

Menurutnya, kerajaan negeri harus masuk campur dan menyiasat wang yang diberikan oleh mereka untuk pasukan itu.

Beliau menyifatkan bola sepak di negeri itu ‘mati’ gara-gara masalah seperti itu.