KKD patut utamakan perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya selepas ini

1,384

Baru-baru ini Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memberi kenyataan yang mereka akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menentukan sama ada siaran langsung Liga Perdana Inggeris (EPL) patut ditayang secara percuma atau tidak.

Menteri KKD, Fahmi Fadzil berkata yang beliau akan melihat keutamaan lain terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang perancangan mengenainya.


Isu ini timbul selepas Fahmi didesak oleh segelintir penonton agar beliau menunaikan janji yang dilakukannya ketika Pilihanraya Umum ke-14.

Sememangnya inisiatif untuk menayangkan perlawanan EPL adalah satu perkara yang cukup positif berikutan liga tersebut sememangnya mempunyai peminat yang cukup besar di Malaysia, tetapi adalah lebih baik untuk KKD turut memberi perhatian kepada perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya.

Ini bagi mengelak isu yang berlaku ketika kempen Piala AFF 2022 baru-baru ini tidak berulang.

Terdahulu, peminat bola sepak tanah air kecewa apabila stesen televisyen milik kerajaan tidak menyiarkan perlawanan pasukan Malaysia berikutan ia ditayangkan di saluran televisyen berbayar Astro.

Susulan itu, mereka mendesak agar pihak bertanggungjawab untuk menyiarkan Piala AFF dan akhirnya desakan mereka mendapat perhatian dan perlawanan disiarkan secara percuma oleh stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Tetapi ramai yang berang apabila perlawanan yang disiarkan itu lewat 15 minit berikutan iannya siaran (free to air) dan haya dibenarkan disiarkan lewat dari stesen berbayar.

Walaupun ada usaha dibuat bagi memastikan peminat yang tidak melanggan saluran berbayar dapat menyaksikan perlawanan tersebut, rata-rata peminat menyifatkan tindakan tersebut seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja.

Susulan itu, ramai yang sanggup menonton perlawanan itu di penstriman haram kerana tidak dapat merasai keterujaan menonton dek hanya dapat menonton siaran lewat dari perlawanan sebenar.

Isu ini patut dijadikan sebagai pengajaran supaya pihak berkenaan lebih peka apabila ada perlawanan membabitkan skuad negara adalah perlawanan yang cukup penting.

Peminat bola sepak tidak seharusnya mendesak untuk menonton perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan tetapi kerajaan seharusnya mengambil inisiatif dengan memberikan yang terbaik untuk peminat.