Tomas Trucha salah satu sebab Latiff Suhaimi ke Kelantan United, Khairu Azrin yakin gabungan kualiti pemain senior dan muda

394

Pemain Kelantan United FC, Abdul Latiff Suhaimi mengakui kehadiran ketua jurulatih baharu, Tomas Trucha di kelab itu merupakan salah satu sebab beliau membuat keputusan untuk berpindah daripada Kelantan FC untuk musim 2023.

Beliau merasakan senang bekerjasama dengan jurulatih Republik Czech itu dan mempunyai keserasian yang baik dengannya.


“Salah satu sebab saya ke KUFC adalah kerana beliau (Trucha), kami pernah bekerjasama di Penang FC sebelum ini dan saya dapat rasakan keserasian dengannya.

Harapan saya adalah kami dapat memberi saingan yang baik kepada pasukan lain untuk musim 2023,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Latiff berkata, beliau juga mudah menyesuaikan diri dengan beberapa pemain lain di kelab itu seperti Indra Putra Mahayuddin, Syazwan Zainon, Fandi Othman dan Khairu Azrin Khazali kerana pernah bermain bersama-sama sebelum ini.

Katanya, persediaan Kelantan United bagi musim 2023 berjalan dengan lancar dan mereka hanya menunggu pemain-pemain import untuk menyertai mereka.

Sementara itu, Khairu Azrin pula percaya pasukan itu mampu memberi saingan yang baik dengan gabungan pemain senior dan muda dalam pasukan untuk menghadapi musim 2023.

Beliau bagaimanapun mengakui para pemain memerlukan masa untuk membentuk keserasian kerana ramai muka baru.

“Untuk dua minggu pertama latihan pramusim semuanya berjalan lancar cuma perlukan masa kerana skuad ini masih baru, ini juga musim pertama kita di Liga Super.

Saya lihat semua pemain mempunyai kualiti sendiri dan ada potensi untuk beri saingan yang baik buat pasukan-pasukan besar.”

Musim lalu, Latiff dan Khairu Azrin masing-masing beraksi dengan pasukan Kelantan dan Kedah Darul Aman.

Kelantan United menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ke-5 musim lalu, dan untuk musim 2023 mereka melantik bekas jurulatih Penang FC, Tomas Trucha sebagai ketua jurulatih.