Julang Piala AFF 2022 ke-7 jadi bukti Thailand punya pembangunan akar umbi terbaik tanpa perlu guna pemain naturalisasi

579

Pasukan bola sepak Thailand sekali lagi unggul dalam kempen Piala AFF 2022 apabila mereka berjaya menjulang trofi itu buat kali ketujuh berturut-turut dengan menumpaskan Vietnam dengan agregat 3-2 pada perlawanan akhir semalam.

Untuk kejohanan kali ini, Thailand tidak menyenaraikan beberapa pemain bintang mereka, sebaliknya membawa sebahagian besar pemain skuad ‘B’, tetapi mereka telah berjaya buktikan kehebatan mereka.


Berbeza pula dengan lawan mereka di perlawanan akhir iaitu Vietnam yang menghantar skuad terkuat mereka tetapi masih gagal untuk merangkul trofi kedua mereka.

Apa yang lebih menarik lagi adalah skuad Gajah Perang kali ini menggunakan 100% pemain tempatan tanpa seorang pun pemain naturalisasi seperti beberapa pasukan lain termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Kejayaan skuad kendalian Alexandre Polking itu dengan jelas bukti kejayaan program pembangunan akar umbi bola sepak di negara itu apabila mampu melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti.

Perkara tersebut telah memberi gambaran jelas betapa majunya pembangunan bola sepak di Thailand sehingga mereka mampu melahirkan ramai pemain berkualiti seperti Theerathon Bunmathan, Adisak Kraisorn, Teerasil Dangda, Sasalak Haiprakhon, Ekanit Panya dan Bordin Phala

Kualiti yang ada pemain mereka juga jauh meninggalkan pemain-pemain dari rantau Asia Tenggara (ASEAN) yang lain sehingga ramai pemain dari negara itu beraksi di liga utama Jepun, J League.

Sebagai contoh, kapten pasukan Theerathon telah mempamerkan aksi berkualiti sehingga beliau berjaya dinobat sebagai pemain paling bernilai (MVP) walaupun sudah berusia 32 tahun.

Selain itu, Teerasil juga telah berkongsi anugerah kasut emas bersama pemain Vietnam iaitu Nguyen Tien Linh.

Dalam pada itu, situasi yang berbeza buat skuad bola sepak kebangsaan Malaysia, di mana mereka turut beraksi tanpa pemain terbaik tetapi dibarisi oleh dua orang pemain naturalisasi iaitu Sergio Aguero dan Lee Tuck serta empat pemain warisan iaitu David Rowley, Stuart Wilkin, Brendan Gan dan Darren Lok.

Walaupun kempen skuad Harimau Malaya kandas di peringkat separuh akhir namun, ramai yang memuji aksi persemahan anak buah Kim Pan-gon berikutan skuad yang dibawa kali ini dibarisi ramai muka baru.

Dari sudut positif pula, Pan-gon kini mempunyai pool players yang lebih ramai untuk dipilih ke kejohanan Piala Asia 2023 nanti.

Diharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat mencontohi Thailand dalam pembangunan bola sepak mereka agar pada masa hadapan skuad negara tidak terlalu bergantung pada pemain naturalisasi mahupun warisan.

Para pemain tempatan juga harus berani mencabar diri mereka untuk beraksi di luar agar kualiti permainan mereka akan terus berkembang seterusnya dapat memberi kelebihan ketika beraksi untuk skuad Harimau Malaya.