Saya dah belajar daripada kesilapan dengan Penang FC, mampu berikan lebih dengan Kelantan United FC – Tomas Trucha

774

Ketua jurulatih Kelantan United FC, Tomas Trucha mempunyai misi untuk membuktikan kemampuan beliau dalam arena bola sepak Malaysia selepas dipecat oleh Penang FC pertengahan musim lalu.

Menurutnya, apa yang berlaku dengan Penang sebelum ini menjadi pengajaran untuknya dan kini melihat ke hadapan bersama Kelantan United musim depan.


“Apa yang berlaku dengan Penang adalah sebahagian daripada bola sepak, kami buat dengan baik pada musim pertama saya dengan pasukan tetapi musim kedua tidak menjadi.

Saya telah belajar dari kesilapan, saya tahu saya boleh lakukan dengan lebih baik dan saya harap dapat tunjukkannya bersama Kelantan United,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Trucha berkata, beliau tidak mahu terburu-buru mencari kerja di negara lain selepas dipecat oleh Penang kerana sukakan tahap bola sepak di negara ini.

Beliau gembira kerana Kelantan United memberi peluang dan kepercayaan kepada dirinya untuk mengendalikan pasukan itu dalam musim pertamanya di Liga Super.

Menurutnya, sasaran pasukan itu pada musim ini adalah untuk memastikan mereka kekal dalam saingan Liga Super pada musim 2024.

“Kami tahu kami kelab kecil dan masih dikira baru, jadi sasaran kami adalah untuk terus kekal dalam Liga Super untuk musim seterusnya, jika mampu berada di kedudukan lapan terbaik sudah cukup baik.

Saya lihat pemain semua rajin dan bekerja keras dalam sesi latihan, saya percaya gabungan pemain senior dan muda akan membawa sesuatu yang baik buat kami.”

Tambahnya, persiapan pasukan ketika ini berada dalam keadaan yang baik, tetapi hanya sedang menunggu pemain import untuk menyertai pasukan.

Beliau juga gembira apabila kelab dapat membawa beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra dan Syazwan Zainon ke dalam pasukan.