Shukor Adan, Norshahrul antara nama yang boleh jadi pembantu jurulatih pasukan kebangsaan

1,637

Baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dilaporkan bakal melantik Shunsuke Nakamura sebagai salah seorang jurulatih untuk skuad bola sepak kebangsaan mereka.

Ketua jurulatih, Hajime Moriyasu begitu memerlukan seorang jurulatih sepakan percuma dan di sebabkan itu beliau ingin melantik Nakamura untuk menyertai barisan kejurulatihan Jepun.


Pelantikan Nakamura merupakan salah satu usaha yang baik daripada JFA.

Usaha seperti itu juga boleh diikuti oleh pasukan kebangsaan Malaysia di mana mereka juga boleh melantik beberapa bekas pemain kebangsaan yang boleh diserap untuk menjadi staf kejurulatihan.

Daripada melantik jurulatih dari luar negara, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh melakukan inisiatif ini kerana ianya bukan sahaja menguntungkan skuad negara malah turut memberi peluang kepada pemain ini untuk berkhidmat untuk negara sekali lagi tetapi sebagai jurulatih.

Pelantikan seperti ini juga boleh membantu ketua jurulatih, Kim Pan-gon dalam mempersiapkan skuad Harimau Malaya dan jurulatih tempatan itu juga akan lebih mudah untuk didekati pemain kerana mereka pun pernah berada di situasi yang sama.

Antara posisi yang boleh dipertimbangkan oleh FAM ialah jurulatih penjaga gol, jurulatih pertahanan, jurulatih bahagian tengah dan jurulatih bahagian serangan.

Antara nama pemain atau bekas pemain yang sesuai untuk diserapkan kedalam staf kejurulatihan termasuk Khairul Fahmi (jurulatih penjaga gol), S.Kunalan (jurulatih pertahanan), Shukor Adan (jurulatih bahagian tengah) dan Norshahrul Idlan (jurulatih penyerang).

Mereka bukan pemain yang calang-calang kerana kesemuanya pernah beraksi serta berbakti untuk pasukan kebangsaan.

Pertama, Khairul Fahmi yang mesra disapa sebagai Apek merupakan seorang penjaga gol yang sangat berpengalaman di mana beliau pernah membantu skuad B-23 tahun untuk memenangi pingat emas di temasya sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia.

Beliau juga merupakan bekas penjaga gol terbaik negara dan berbekalkan penggalaman serta pencapaiannya itu, ianya sudah pasti dapat membantu jurulatih penjaga gol sekarang iaitu Cho Jun Ho.

Kedua, Kunalan yang boleh dilantik sebagai jurulatih pertahanan di mana pengalaman beliau membantu skuad negara meraih kejuaran sulung Piala AFF 2010 sudah pasti ditagih untuk memantapkan lagi barisan pertahanan.

Beliau juga berjaya memperoleh pelbagai kejuaraan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan walaupun pada musim lalu beliau hanya diturunkan sekali sahaja dalam perlawanan Liga Super, namun khidmatnya masih lagi diperlukan untuk musim 2023 ini.

Seterusnya, Shukor pula mempunyai kemampuan untuk menjadi jurulatih bahagian tengah dengan berbekalkan pengalamannya yang lebih sedekad beraksi di Liga Super sudah pasti dapat membantu Pan-gon menyelesaikan masalah di bahagian tengah.

Beliau juga merupakan seorang yang sangat berdisplin serta tegas sebagai seorang pemain serta sebagai seorang jurulatih di KL City memberikan nilai tambah buat pemain itu.

Akhir sekali, jurulatih bahagian serangan yang berkemungkinan boleh diisi oleh Norshahrul (Mat Yo) dengan pengalamannya pernah membantu Malaysia menjulang Piala AFF pasti dapat menyelesaikan masalah ketumpulan bahagian serangan negara.

Mungkin kesemua nama pemain dan bekas pemain ini boleh dijadikan sebagai pelan jangka panjang FAM dalam membangun dan melahirkan lebih ramai jurulatih tempatan berkualiti.