Kenapa nak larang Melaka FC main Liga M3? Mereka bukan Melaka United FC!

1,956

Melaka FC dibenar untuk bersaing dalam Liga M3 2023 kerana mereka adalah entiti yang berbeza dari Melaka United FC; Sarawak United FC juga akan bermain di liga semi-profesional itu tetapi tak dibenar daftar pemain baru.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri.


“Melaka FC dan Melaka United FC adalah dua entiti yang berbeza. Dengan penyingkiran Melaka United dari Liga Super sudah semestinya ia akan menjadi bualan. Pada masa sama Persatuan Bola Sepak Melaka mengambil satu langkah untuk menubuhkan satu lagi pasukan yang bersaing di Liga M3.

Kami terima permohonan mereka dan selepas mesyuarat ahli Lembaga pengarah kita putuskan mereka dibenarkan untuk sertai Liga M3,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, ramai peminat yang mempersoal tindakan AFL yang membenarkan Melaka FC bersaing di liga semi-profesional itu selepas Melaka United berdepan masalah tunggakan gaji pemain sehingga menyebabkan mereka tidak mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim ini.

Dalam pada itu, Raimi turut menjelaskan mengenai persoalan mengapa Sarawak United turut dibenarkan beraksi walaupun mereka juga berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

“Untuk pasukan Sarawak United pula, situasi mereka ini hampei serupa dengan Perak FC musim lalu yang mana mereka mempunyai kes FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) namun tetap dibenarkan beraksi, tetapi mereka tidak boleh mendaftarkan pemain baru berikutan dikenakan transfer ban.”

Jelasnya lagi, sekiranya saingan liga sudah bermula dan Sarawak United masih lagi gagal melangsaikan tunggakan gaji, tindakan pemotongan mata akan dikenakan kepada mereka.

Pada saingan Liga Perdana musim lalu, pasukan Perak yang mengalami masalah tunggakan gaji tetap dibenarkan untuk beraksi tetapi hanya boleh menggunakan pemain sedia ada.

Berikutan mereka gagal menjelaskan tunggakan gaji dalam tempoh yang ditetapkan, pemotongan sembilan mata telah dikenakan kepada mereka.

Pasukan The Bos Gaurus akhirnya keluar dari krisis kewangan selepas kelab tersebut diambil alih oleh syarikat telco gergasi XOX Berhad.