Bola Sepak Malaysia dan Thailand bertuah kerana mempunyai figura seperti TMJ dan Madame Pang

1,812

Pengurus skuad kebangsaan Thailand Nualphan Lamsam (Madame Pang) bercita-cita besar untuk membawa pasukan bola sepak Thailand ke Piala Dunia 2026 selepas berjaya menjulang Piala AFF 2022 tempoh hari dan ianya merupakan satu perancangan yang bagus.

Ini bukanlah satu perkara yang pelik kerana Madame Pang merupakan figura yang tidak asing dalam arena bola sepak Thailand.


Namun, peminat bola sepak Malaysia juga boleh berharap perkara yang sama kerana mereka mempunyai Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris yang sentiasa memberi yang terbaik untuk pembangunan bola sepak negara serta kelabnya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Baginda juga mempunyai visi serta misi yang sama untuk bantu bola sepak negara mencapai kejayaan di tahap yang tertinggi di peringkat Asia.

Walaupun usaha kedua-dua figura ini iaitu Madame Pang serta TMJ sering kali tidak dipandang orang ramai tetapi mereka sentiasa memberikan yang terbaik untuk pembangunan bola sepak negara masing-masing.

Usaha dan semangat mereka untuk kemajuan bola sepak di Thailand dan Malaysia tidak boleh dipertikaikan.

Mereka juga sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk semata-mata untuk melihat bola sepak di negara masing-masing terus maju.

Dengan hasil usaha mereka pembangunan bola sepak Thailand dan Malaysia telah mengalami banyak perubahan yang positif.

Dalam pada itu, Madame Pang merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya di mana beliau merupakan generasi kelima keluarga Lamsam dan keluarga itu mempunyai empayar busines sendiri iaitu Muang Thai Life Assurance Co.

Beliau juga merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) untuk syarikat itu dan juga merupakan pewaris kepada pengedar utama Hermes di Thailand yang mempunyai nilai perniagaan sebanyak RM498 bilion (AS$98 biilion).

Minat Madame Pang terhadap sukan bola sepak sememangnya tidak boleh dinafikan kerana beliau juga merupakan pemilik serta pengerusi sebuah kelab di Thai League 1 iaitu Port FC.

Selaini itu, wanita berusia 56 tahun itu juga merupakan bekas pengurus bola sepak wanita Thailand dan sepanjang bergelar pengurus beliau berjaya membawa pasukan itu mara ke pusingan akhir Piala Dunia Wanita sebanyak dua kali iaitu pada edisi 2015 dan 2019.

Jadi tidak hairanlah beliau mempunyai matlamat yang sama untuk pasukan lelaki juga kerana tahap permainan Thailand sudah menghampiri peringkat Asia.

Madame Pang turut menyatakan yang kejayaan menjuarai Piala AFF 2022 sahaja tidak cukup dan sasaran seterusnya untuk Thailand adalah Piala Dunia.

Selari dengan itu, TMJ juga mempunyai matlamat yang hampir sama iaitu ingin melihat bola sepak Malaysia terus maju.

Walaupun kehadirannya arena dalam bola sepak Malaysia seperti tidak dihargai oleh peminat tetapi baginda tetap memberi sumbangan dari segi aspek kewangan serta fasiliti agar pembangunan bola sepak Malaysia terus maju dan tidak ketinggalan.

Pemilik JDT itu juga banyak membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Malaysian Football League (MFL) bagi memastikan bola sepak negara tidak mundur.

Antara bantuan yang baginda berikan ialah dengan menukarkan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) daripada Cow Grass kepada Zeon Zoysia dan penukaran tersebut akan menelan kos sebanyak RM1.5 juta.

Selain daripada itu, skuad bola sepak Malaysia juga akan dapat menggunakan alat kecergasan yang baru kerana JDT bakal menjalin kerjasam dengan satu jenama alat kecergasan antarabangsa dan kerjasama itu turut memberi kelebihan untuk skuad Harimau Malaya.

Terdahulu, TMJ juga banyak membantu kelab-kelab Liga Super yang mengalami masalah kewangan terutama tunggakan gaji pemain dan baginda dengan senang hati memberi pertolongannya.

Antara kelab-kelab yang pernah dibantu baginda adalah Selangor FC, Melaka United FC, Perak FC, Kelantan FC dan Penang FC.

Kesemua kelab-kelab itu terutama pemain amat berterima kasih atas keperihatinan baginda dalam menyelesaikan masalah yang dialami oleh mereka.

Diharap peminat bola sepak Malaysia dan Thailand akan terus menghargai dua figura ini kerana jasa mereka berdua dalam pembangunan bola sepak amatlah berharga.