Kemasukan semula Ifedayo Olusegun akan ditentukan oleh pihak pengurusan – Tan Cheng Hoe

1,003

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe memberitahu kemasukan semula bekas penjaring terbanyak Liga Super 2021, Ifedayo Olusegun terletak di tangan pihak pengurusan samada mahu membawa masuk semula penyerang itu atau tidak.

Ini kerana menurut Cheng Hoe, selain Ifedayo pihak pengurusan Selangor juga sedang dalam perbincangan untuk membawa masuk lagi beberapa pemain import bagi memenuhi kuota sembilan pemain import.


“Segala perancangan untuk membawa pemain-pemain import seperti Ifedayo juga ada perbincangan di peringkat pengurusan samada kita perlu khidmatnya atau sebaliknya.

Sudah pasti kita masih lagi memerhati dua tiga penyerang yang mampu menggalas tugas mencabar untuk menjadi penggempur Selangor,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bercerita lanjut mengenai latihan pra musim yang sedang berlangsung ketika ini, Cheng Hoe berkata fokus mereka ketika adalah untuk memastikan setiap pemain berada pada tahap terbaik terutamanya pemain-pemain yang baru melapor diri selepas selesai tugasan bersama skuad Harimau Malaya.

“Fokus kita ketika ini adalah dari segi kecergasan dan kita perlu monitor tahap kecergasan pemain yang baru lapor diri selepas selesai tugasan bersama skuad Harimau Malaya kerana mereka sudah menjalani musim yang cukup panjang.

Kita harap kesemua pemain akan berada pada keadaan bagi baik supaya mereka tidak mengalami kecederaan serius sebelum saingan liga bermula.”

Pengendali berusia 54 tahun itu juga sempat memberi perkembangan mengenai kecederaan pemain pertahanan Khuzaimi Piee yang dikatakan hampir pulih sepenuhnya dan akan turun berlatih bersama pasukan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, beliau yang diminta mengulas mengenai kemelut yang dihadapi oleh dua rakan jurulatih B. Sathianathan (Sarawak United FC) dan Asri Ninggal (Melaka United FC) berharap kedua-dua mereka akan dapat kembali mengendalikan pasukan.

“Buat masa ini saya belum berkomunikasi dengan mereka tetapi sudah pastinya saya ingin ucapkan selamat maju jaya buat kedua-dua jurulatih ini.”