Ganti jurulatih terbaik di ASEAN, tugas berat menanti Phillipe Troussier

1,486

Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) telah melantik jurulatih berketurunan Perancis iaitu Philippe Troussier untuk menggantikan Park Hang-seo sebagai ketua jurulatih.

Namun, ianya bukan tugas mudah untuk Troussier kerana beliau perlu menggantikan ketua jurulatih yang boleh dianggap sebagai jurulatih paling berjaya di rantau Asia Tenggara (ASEAN) pada ketika ini.


Hang-seo sudah meninggalkan satu pasukan yang cukup baik dan lengkap untuk diwarisi oleh Troussier.

Jurulatih yang terkenal dengan gelaran ‘White Witch Doctor’ itu juga tidak asing dalam arena bola sepak Vietnam apabila beliau pernah menjadi jurulatih B-19 Vietnam pada tahun 2019 sehingga 2021.

Bersama skuad B-19 Vietnam, beliau berjaya membimbing skuad itu untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia B-19

Sepanjang bergelar jurulatih, Troussier juga pernah berjaya menempa nama di Asia pada awal tahun 2000 dan pernah membawa pasukan kebangsaan Jepun menjuarai Piala AFC pada tahun 2000.

Selain itu, beliau juga berjaya membawa skuad Jepun layak ke Piala Dunia 2002 dan berjaya mara ke pusingan 16 terbaik.

Jurulatih berusia 67 tahun itu juga pernah dikaitkan untuk menggendalikan pasukan kebangsaan Malaysia pada tahun 2014 selepas kontrak Datuk K.Rajagopal tamat pada penghujung tahun 2013, namun ianya tidak berlaku selepas beliau gagal mencapai kata sepakat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pelantikan Troussier ini juga sudah pasti akan menyemarakkan lagi bola sepak Vietnam kerana beliau sudah pasti akan membawa falsafah serta gaya bola sepaknya tersendiri.

Mungkin kejayaan yang dicipta oleh Troussier bersama Jepun boleh diulangi di Vietnam.

Dalam pada itu, kejayaan Hang-seo bersama skuad Golden Star Warrior sememangya tidak boleh dipertikaikan.

Sepanjang lima tahun bersama skuad bola sepak B-23 serta skuad senior Vietnam amat membanggakan peminat bola sepak negara itu.

Antara kejayaan beliau bersama Vietnam ialah berjaya membawa pasukan B-23 tahun Vietnam untuk menjadi naib juara Piala Asia B-23 tahun di China pada tahun 2018.

Selain itu, beliau juga berjaya membawa Vietnam untuk mara ke separuh akhir Sukan Asia 2018 selepas kali terakhir mereka mara ialah 56 tahun yang lalu.

Hang-seo juga berjaya membantu Vietnam menjulang Piala AFF buat kali kedua pada tahun 2018.

Jurulatih berusia berusia 65 tahun itu turut berjaya membawa Vietnam untuk merangkul pingat emas temasya Sukan SEA pada tahun 2019 dan berjaya mempertahankan pingat itu untuk edisi 2021 di bumi Hanoi, Vietnam.

Bukan sahaja ada rekod yang cemerlang, Hang-seo juga berjaya melahirkan ramai pemain yang sangat berbakat antaranya ialah Nguyen Quang Hai yang kini beraksi untuk kelab Perancis iaitu Pau FC.

Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, ianya bukan satu tugas yang mudah Troussier menggantikan Hang-seo tetapi ianya tidak mustahil untuk beliau mengulangi kejayaan Hang-seo bersama Vietnam.

Semoga berjaya buat Phillipe Troussier.