Eugene Ng harap tarian singa dapat dikategorikan sebagai sukan tidak lama lagi

166

Pengasas Sheng Wai Dragon 7 Lion Dance Kuala Lumpur, Eugene Ng memberitahu pihaknya kini sedang berusaha untuk menjadikan tarian singa sebagai salah satu sukan yang diiktiraf.

Bagi memastikan impian itu tercapai, Eugene Ng berkata pihaknya kini sedang dalam perbincangan dengan pihak Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).


“Sekarang ini memang kita tengah kerja keras untuk menjadikan tarian singa ini sebagai sukan.

Beberapa perbincangan juga sudah dilakukan dengan KBS dan berharap pihak mereka akan mempertimbangkan untuk memasukan tarian singa ini sebagai salah satu sukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, tarian singa ketika ini tidak lagi eksklusif kepada orang Cina, sebaliknya ia kini ia lebih terbuka apabila orang Melayu dan India turut sama belajar dan menyertai tarian singa.

Tambahnya lagi, tarian singa sebenarnya tiada kaitan langsung dengan upacara keagamaan, sebaliknya apa yang dilakukan adalah sebagai memberi penghormatan.

Bercerita lanjut mengenai kewujudan tarian singa ini ia adalah dari kisah orang Cina dahulu yang mana ia menceritakan tentang sebuah perkampungan yang mana terdapat satu raksasa yang sering keluar dan merosakkan hasil pertanian orang kampung.

Selepas beberapa tahun cuba untuk menghalau raksasa ini dari mengganggu, mereka telah mendapat idea untuk mencipta satu raksasa yang hampir serupa termasuk disertakan dengan bunyi gendang serta bunyi bunga api sekaligus tarian singa ini dapat menghalau raksasa itu.

Jelasnya lagi, warna-warna yang digunakan pada kostum singa melambangkan panglima-panglima Cina.

Dalam pada itu, Eugene Ng berkata tarian singa ketika ini tidak hanya dapat dilihat pada hari Sambutan Tahun Baru Cina sahaja, sebaliknya sudah mula digunakan di beberapa acara lain.

“Sekarang selain dari Tahun Baru Cina dan pembukaan kedai baru, kita juga buat majlis hari jadi, majlis perkahwinan orang Cina, orang Melayu dan orang India pun kita buat. Kita dapat lihat sekarang ini semakin ramai orang bukan Cina yang mula menempah tarian singa ini.”

Sementara itu, untuk pengetahuan tarian singa Malaysia merupakan yang terbaik di dunia, dan sentiasa menghantar pakar-pakar dari negara untuk melatih pasukan tarian singa di luar negara seperti China, India, Eropah dan banyak lagi.