Liridon Krasniqi tiada dalam skuad Khon Kaen United, kembali perkuat JDT atau dipinjamkan ke kelab baru?

1,406

Kelab dari Thai League 1 iaitu Khon Kaen United sudah pun mengumumkan barisan skuad utama untuk 2023, tapi yang menarik perhatian apabila nama pemain naturalisasi negara Liridon Krasniqi tiada dalam senarai pemain.

Liridon atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Don berhijrah ke Khon Kaen secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim lalu dan sepanjang tempoh tersebut beliau telah membuat sebanyak lapan penampilan.


Bagaimanapun dalam lapan penampilannya, Mat Don hanya bermain sebanyak 358 minit permainan sahaja.

Dengan ketiadaan pemain berusia 31 tahun itu dalam skuad Khon Kaen, ia bermakna beliau akan kembali ke JDT.

Tetapi persoalannya kini, adakah Mat Don berada dalam perancangan skuad Harimau Selatan untuk musim ini? Atau beliau akan kembali dipinjamkan ke kelab baru?

Ini kerana berdasarkan perkongsian pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris baru-baru ini telah memberi bayangan barisan skuad utama JDT musim ini dan nama Mat Don tiada dalam senarai itu.

Terdahulu, sejak menyertai JDT pada tahun 2021 beliau jarang mendapat tempat dalam skuad utama dan telah dipinjamkan ke beberapa kelab di luar negara termasuk Newcastle United Jets (Australia), Odisha FC (India) sebelum ke Khon Kaen (Thailand).

Mungkinkah beliau akan kekal di Liga Super dengan menyertai kelab lain secara pinjaman? Jika ya kelab manakah yang akan menjadi pilihan beliau?

Adakah Mat Don akan kembali ‘reunion’ dengan Tan Cheng Hoe dan Ramon Marcote di Selangor FC? Boleh jadi juga kerana semua sedia maklum hubungan TMJ dan RMS (Raja Muda Selangor) yang merupakan pengerusi kelab Gergasi Merah Kuning itu sangat baik.

Jadi tidak terkejut sekiranya Mat Don ke Selangor dan mungkin di bawah bimbingan Cheng Hoe dan Marcote prestasi pemain dari Kosovo itu akan kembali menyerlah seperti ketika beliau di Kedah Darul Aman FC (KDA).

Ini kerana ketika itu KDA dikendalikan oleh Cheng Hoe dan Marcote dan Mat Don menjadi pemain yang cukup menjadi perhatian sehingga digelar sebagai arkitek terbaik Liga Super ketika itu.

Semoga berjaya buat Mat Don untuk musim ini!