Tindakan tegas FIGC terhadap Juventus langgar urusan perpindahan pemain patut dicontohi oleh MFL

1,270

Isu berkaitan dengan perpindahan pemain di Liga Malaysia jarang berlaku, tetapi tidak boleh dinafikan pernah terjadi namun ia tidak sebesar seperti yang kerap berlaku di liga Eropah.

Terbaru, gergasi Serie A iaitu Juventus telah dikenakan hukuman pemotongan 15 mata selepas Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) mendapati terdapat kesalahan mengenai urusan perpindahan pemain terdahulu kelab itu.


Juventus yang ketika itu di bawah pimpinan pengarah Fabio Paratici yang kini bersama Tottenham Hotspur.

Berikutan itu, Paratici juga dikenakan penggantungan dua setengah tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak di Itali.

Tidak cukup dengan itu, penggantungan beliau juga disertakan dengan permohonan untuk merangkumi aktiviti bola sepak di peringkat Eropah dan dunia, dan ia berpotensi memberi kesan besar kepada Tottenham kelak.

Bukan sahaja Paratici sahaja dikenakan tindakan, malah bekas pengerusi kelab tersebut iaitu Andrea Agnelli turut digantung selama dua tahun di Itali.

Susulan pemotongan 15 mata itu, Juventus yang sebelum ini berada di tangga ketiga telah jatuh ke tangga ke-10 sekaligus berkemungkinan besar akan terlepas untuk layak ke UEFA Champions League (UCL).

Hukuman ini dikenakan selepas kelab tersebut didapati bersalah kerana berlakunya pelanggaran kewangan ketika mereka bersama kelab itu.

Pujian harus diberikan kepada badan induk bola sepak Itali kerana bersikap telus tanpa pilih kasih apabila menghukum gergasi Serie A dek kesalahan yang dilakukannya.

Pengelola liga di Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) boleh mengikut jejak langkah sama untuk mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana kelab yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan tanpa mengira kelab tersebut kerdil atau gergasi.

Keperluan bersikap telus dapat menghindari sesebuah liga bola sepak rosak dek pihak tidak bertanggungjawab, sekaligus dapat meningkatkan kualiti liga itu sendiri.