Kedah Darul Aman FC bakal harungi latihan pra-musim di Turki

2,788

Saingan Liga Super bakal membuka tirainya pada hujung Februari ini, dan kini kesemua pasukan sedang sibuk menjalani latihan pra-musim bagi memantapkan skuad.

Jika dahulu hanya beberapa kelab sahaja yang akan menjalani pra-musim di luar negara, namun kali ini tampaknya semakin banyak kelab yang memilih luar negara untuk membuat persiapan terakhir.


Kedah Darul Aman FC (KDA) sememangnya sebelum ini sering ke negara jiran Thailand untuk mengadakan perlawanan pra-musim di sana, namun untuk musim ini mereka dijangka akan terbang lebih jauh lagi apabila akan ke Turki.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh pemilik kelab itu iaitu Tan Sri Mohd Daud Bakar yang berkata skuad kendalian Nafuzi Zain itu akan menghadapi empat perlawanan.

“Celebrate kejayaan KDA (menang 2-0 menentang Kelantan FC) seorang diri sambal memikir rancangan KDA FC bermain 4 perlawanan di Turki tak lama lagi. Mendebarkan,” tulisnya di Instagram.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kelab manakah yang Sang Kenari akan bertemu nanti.

Menurut beliau, perlawanan berintensiti tinggi yang diatur oleh KDA adalah untuk melihat sikap, watak, cara fikir dan personaliti pemain-pemain, sekaligus ketua jurulatih dapat menilai dalam menentukan barisan kesebelasan utama.

Persoalannya kini, kelab manakah yang akan menjadi lawan KDA nanti? Mungkinkah empat kelab ini akan menjadi lawan KDA nanti?

Galatasaray S.K.

Bagi peminat bola sepak dunia pastinya kenal dengan Galatasaray S.K. yang merupakan kelab gergasi di Turki. Mereka mempunyai rekod yang cukup cemerlang dalam saingan liga domestik iaitu Super Lig dan juga di Eropah.

Antara kejayaan terbaik mereka adalah apabila berjaya menjulang trofi Europa League dan EUFA Super Cup pada tahun 2000 sekaligus menjadi mereka satu-satunya kelab dari Turki yang berjaya menang kejohanan di Eropah.

Untuk musim 2022/2023, Galatasaray kini berada di puncak liga selepas 19 perlawanan dan mempunyai ramai pemain bintang antaranya Juan Mata, Mauro Icardi, Dries Mertens, Sergio Oliveira dan ramai lagi.

Fenerbahce S.K.

Sama seperti Galatasaray, Fenerbahce S.K merupakan salah sebuah kelab gergasi di Turki yang bukan sahaja cemerlang di saingan domestik, tetapi juga mempunyai reputasi hebat dalam saingan tertinggi Eropah seperti di UEFA Champions League (UCL) dan Europa League.

Untuk musim ini yang masih sedang berlangsung, mereka berada di kedudukan kedua dan ini telah membuktikan kehebatan mereka. Bagi yang tidak mengetahui, penjaring terbanyak untuk Ecuador di Piala Dunia 2022 baru-baru ini iaitu Enner Valencia merupakan tonggak utama Fenerbahce, selain Diego Rossi, Altay Bayindir, Miguel Crespo dan ramai lagi.

Besiktas J.K.

Kelab Besiktas J.K pastinya dikenali oleh peminat bola sepak dunia kerana Mezut Ozil pernah bermain untuk kelab tersebut. Namun kelab itu bukan dikenali kerana Ozil sahaja tetapi Besiktas mempunyai reptusi yang cukup cemerlang dalam kejohanan UEFA Champions League (UCL) dan juga Europa League.

Walaupun kelab ini kurang diminati terutamanya peminat bola sepak di Malaysia, namun kelab ini mempunyai ramai pemain hebat dunia termasuk beraksi di Piala Dunia 2022 baru-baru ini seperti Romain Saiss (Morocco), Dele Alli (England).

Trabzonspor

Disebalik tiga kelab besar di atas, Trabzonspor merupakan juara bertahan Super Lig namun kini berada berada di kedudukan keenam liga. Walaupun prestasi mereka tidaklah sehebat pada musim lalu, tetapi mereka bukan lawan mudah yang boleh dipandang enteng.

Sama seperti tiga kelab di atas, Trabzonspor turut mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi Eropah apabila beraksi di Europa League. Walaupun tidak dibarisi pemain-pemain bintang dunia, namun mereka mempunyai skuad yang cukup mantap.