Singapura mahu kembali fokus program naturalisasi untuk perkuat skuad seperti Malaysia

963

Pasukan bola sepak Singapura pernah mempunyai pemain naturalisasi prolifik iaitu Aleksandar Duric yang pernah menggegar bola sepak Asia Tenggara satu ketika dahulu.

Walaupun menjadi negara terawal yang menggunakan pemain naturalisasi, namun mereka kemudian perlahan-lahan mula membangunkan bola sepak akar umbi untuk melahirkan ramai pemain-pemain tempatan berkualiti.


Mereka boleh dikatakan tidak lagi terlalu fokus dengan program naturalisasi apabila ketika ini hanya mempunyai seorang sahaja pemain naturalisasi iaitu Song Ui-young (Korea Selatan), manakala negara jiran mereka iaitu Malaysia pula semakin rancak apabila memperkenalkan program naturalisasi termasuk rancak membawa pemain warisan yang mempunyai darah Malaysia.

Ternyata program tersebut telah membuahkan hasil apabila Malaysia telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini termasuk berjaya layak ke Piala Asia 2023 dan berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2022 baru-baru ini.

Bukan Malaysia sahaja, Indonesia juga rancak membawa masuk pemain warisan termasuk Jordi Amat, Sandy Walsh, Elkan Baggott dan beberapa lagi.

Bagaimanapun skuad Kota Singa pula semakin merudum dan mempamerkan prestasi tidak konsisten sekaligus telah mencetuskan kebimbangan peminat mereka.

Berikutan itu, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dikatakan akan mempercepatkan proses untuk mendapatkan bakat pemain luar negara untuk menyarung jersi kebangsaan Singapura, termasuk terus membangunkan bakat tempatan.

Program Foreign Talent Scheme itu akan menyaksikan pemain luar negara yang beraksi di Singapura Premier League selama lima tahun akan diberikan kerakyatan.

Selain program naturalisasi, FAS juga sedang melihat kemungkinan untuk membawa pemain warisan untuk memperkuatkan pasukan.

Dua pemain yang menjadi buruan FAS ketika ini adalah pemain pertahanan kanan Sunderland, Luke O’Nien dan pertahanan tengah Cardiff City, Perry Ng.

Kedua-dua pemain itu juga dikatakan berminat untuk menyarung jersi kebangsaan Singapura dan jika ia menjadi kenyataan, skuad Singapura mungkin bakal kembali menjadi antara pasukan yang digeruni di rantau Asia Tenggara.