UiTM FC, Real Chukai FC & Tok Janggut Warriors FC boleh dipertimbang untuk sertai Liga M3 musim ini

454

Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, liga amatur yang dianjurkan oleh Amateur Football League (AFL) kurang mendapat sambutan, namun semuanya berubah pada musim lalu apabila saingan Liga M3 mula mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air.

Musim 2022 menyaksikan sebanyak 20 kelab telah berentap bagi merebut gelaran juara Liga M3 yang telah menyaksikan PIB FC telah berjaya menjulang trofi itu selepas menewaskan KL Rovers FC di perlawanan akhir.


Susulan kejayaan musim lalu, pihak AFL telah mengambil keputusan untuk mengubah format Liga M3 dari format dua kumpulan kepada format liga biasa sahaja iaitu mempunyai 14 pasukan.

Bukan sahaja format ditukar, tetapi taraf liga juga dinaikkan dari liga amatur kepada liga semi-profesional.

Disebalik keterujaan peminat untuk Liga M3 musim 2023, timbul pula beberapa kontroversi apabila dua pasukan dari Liga Super iaitu Melaka United FC dan Sarawak United FC akan bermain dalam Liga M3 selepas tidak dapat Lesen Kebangsaan dek masalah tunggakan gaji pemain.

Isu timbul apabila Melaka muncul sebagai sebuah kelab baru iaitu Melaka FC yang ditubuhkan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MASA) mendakwa mereka adalah entiti berbeza dari Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) walaupun ada individu yang pernah berada dalam MUSA kini bersama MASA.

Ramai peminat berang dan mengecam apabila Melaka FC ditubuhkan dengan mendakwa pihak berkenaan bersikap ‘lepas tangan’ dan enggan bertanggungjawab dengan kemelut tunggakan gaji enam bulan.

Biarpun pihak AFL telah tampil menjelaskan kepada Harimau Malaya bahawa Melaka FC layak untuk bermain di Liga M3 musim ini berikutan mereka adalah entiti yang berbeza, namun ramai yang tidak bersetuju dengan penjelasan itu.

Selain itu, kehadiran Sarawak United juga menimbulkan persoalan bagaimana kelab itu dibenarkan untuk bermain sedangkan mereka berdepan tunggakan gaji lebih tiga bulan.

AFL turut menjelaskan situasi Sarawak United yang mana kelab itu dibenarkan beraksi sama seperti situasi Perak FC musim lalu.

Mereka tidak akan dibenarkan untuk mendaftarkan pemain baru dan pemotongan mata akan dikenakan sekiranya gagal melangsaikan tunggakan gaji dalam masa tempoh yang ditetapkan.

Persoalannya, memandangkan ramai pemain yang sudah meninggalkan kelab itu, adalah mereka cukup pemain untuk mengharungi saingan Liga M3 musim ini?

Banyak lagi persoalan yang timbul dan yang paling ditanya-tanya adakah saingan musim ini akan berjalan tanpa sebarang masalah atau sebaliknya?

AFL mempunyai beberapa alternatif lain iaitu menggugurkan Melaka dan Sarawak United dan menggantikannya dengan UiTM FC, Real Chukai FC dan Tok Janggut Warriors FC.

Semua sedia maklum UiTM yang beraksi di Liga Super dikatakan menarik diri dari untuk saingan musim 2023 dek kekangan bajet dan mereka juga dikatakan telah menghantar permohonan untuk menyertai Liga M3 musim ini.

Manakala Real Chukai pula, mereka tersingkir dari saingan Liga M3 musim lalu tetapi pujian harus diberikan kepada mereka kerana menjadi antara salah sebuah kelab yang bebas dari masalah tunggakan gaji dan juga mempunyai venue home sendiri.

Sementara itu, Tok Janggut Warriors juga boleh dipertimbangkan kepada mereka juga antara kelab yang tidak berdepan masalah tunggakan gaji. Dengan pengalaman yang ada pada musim lalu, pastinya mereka mampu memberi saingan hebat musim ini.

Untuk pengetahuan, setakat ini sebanyak 13 pasukan telah mengesahkan diri untuk beraksi musim ini iaitu Melaka, Sarawak United, PIB FC, Perlis United FC, KL Rovers FC, Harini FT, Imigresen FC, Armed Forces FC, BRM FC, Bukit Tambun FC, Manjung City FC, Malaysia University FC dan Naga Ultimate Kuala Selangor FC.

Kinabalu Jaguars FC yang sebelum ini mengesahkan tempat telah menarik diri baru-baru ini dek ketiadaan venue.