Sri Pahang FC atur perlawanan dengan tiga kelab dari Korea Selatan untuk pra-musim

864

Nampaknya selepas mengharungi musim Liga Super yang hambar pada 2022, Sri Pahang FC nampaknya mahu kembali menjadi salah sebuah pasukan yang digeruni pada musim 2023.

Sri Pahang telah berlepas ke Thailand untuk menjalani latihan pra-musim di sana selama 10 hari dengan mengatur tiga perlawanan menentang tiga kelab dari Korea Selatan.


Skuad Tok Gajah akan menentang FC Seoul pada 23 Januari, Daegu FC pada 26 Januari dan FC Anyang pada 29 Januari.

Difahamkan mereka akan berpengkalan di pusat latihan BG Pathum sepanjang tempoh pra-musim.

Teka-teki mengenai siapakah yang akan mengendalikan pasukan dari Pantai Timur itu akhirnya terjawab juga apabila Fandi Ahmad yang sebelum ini dibawa masuk sebagai Penasihat Teknikal telah diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih untuk musim ini.

Dato’ Dollah Salleh yang sebelum ini menjadi pengendali interim akan kembali kepada jawatan asalnya iaitu sebagai pengurus pasukan.

Pelantikan lagenda bola sepak Singapura nyata disambut baik oleh peminat yang tidak sabar untuk melihat pembaharuan yang akan dibawa oleh beliau baik dari segi corak permainan dan juga taktikal.

Bagi memantapkan skuad, Fandi telah membawa masuk beberapa muka termasuk Sherzod Fayziev, Kpah Sherman, Stefano Brundo, Lucas Espindola dan Michael John Glassock.

Manakala pemain tempatan pula seperti Shamie Iszuan, Adam Malique, Lokman Bah serta tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Izham Tarmizi, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq.

Pemain kebangsaan seperti Sergio Aguero, David Rowley dan Azam Azih juga akan kekal di Darul Makmur untuk musim ini.

Melihat kepada persiapan rapi yang dilakukan oleh Sri Pahang untuk musim ini, ternyata mereka sememangnya serius untuk kembali ke prestasi terbaik mereka sekaligus mengembalikan status mereka sebagai gergasi Pantai Timur.