Tunggakan gaji ‘bunuh’ semangat pemain muda, masa depan bola sepak Malaysia gelap jika ia berterusan

535

Tunggakan gaji bukanlah satu masalah yang baru di Malaysia kerana masalah tersebut telah membelenggu beberapa kelab yang beraksi di Liga Super sejak sekian lama dan antara kelab yang terpalit ialah Sarawak United FC.

Bekas pemain Sarawak United, Stuart Wark turut meluahkan kekecewaanya mengenai nasib yang menimpa rakan seperjuangannya.


Wark meluahkan kekecewaanya menerusi laman sosial miliknya di mana beliau turut mendedahkan bahawa seorang pemain muda kelab itu terpaksa berhenti menjadi pemain profesional dan menyertai tentera laut ekoran masalah tunggakkan gaji yang tak selesai.

Bukan itu sahaja pemain Kesetsart FC itu turut mendedahkan yang beliau juga mengalami nasib yang sama apabila tidak dibayar gaji daripada tahun 2018, 2019, 2021 dan 2022.

Disebabkan kelab yang tidak mahu bertanggungjawab ke atas kebajikan pemain ia akan membunuh masa depan bola sepak Malaysia serta pembangunan akar umbi.

Bukan itu sahaja, pemain muda yang ingin bina kerjaya sebagai pemain profesional juga akan hilang semangat serta keterujaan mereka kerana masalah yang tidak pernah selesai ini.

Masalah tunggakan gaji ini juga tidak akan memberi masa depan yang cerah untuk bola sepak Malaysia kerana pemain tidak mampu untuk menyara hidup.

Sebaliknya pemain harus mencari kerja sampingan untuk menanggung keluarga kerana kerjaya sebagai pemain bola profesional tidak memberikan mereka gaji yang sepetutnya diterima.

Apabila isu ini kerap terjadi, fokus pemain atas padang akan terganggu dan turut akan menjejaskan prestasi mereka.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Malaysia Football League (MFL) dan Kementerian Belia & Sukan (KBS) harus memandang serius tentang masalah ini kerana ianya melibatkan masa depan pemain serta bola sepak negara.

Mereka harus bekerjasama serta berbincang kerana masalah ini sudah semakin parah dan seperti ‘virus’ dalam liga Malaysia.

Jikalau masalah ini tidak bertemu jalan penyelesaian oleh tiga badan induk ini, jumlah pemain muda berkemungkinan akan terus berkurangan kerana mereka sudah tidak ingin bermain ekoran masalah gaji.

Mungkin satu hari nanti tiada orang akan bermain bola secara profesional kerana isu-isu seperti ini tidak dapat diselesaikan.

Diharap isu ini akan diselesaikan dengan secepat yang mungkin oleh pihak yang berwajib dan pembagunan bola sepak akan terus membangun tanpa terpalit dengan isu seperti ini lagi.