Kelab kecil boleh tewaskan kelab besar dalam Piala FA, boleh jadi contoh untuk bola sepak Malaysia – Ryan Armstrong

431

Kejohanan Piala FA yang merupakan kejohanan bola sepak nasional yang tertua di dunia merupakan satu pertandingan yang amat popular di seluruh dunia kerana mempunyai ‘magis’nya tersendiri, di mana kelab kecil di divisyen bawah mampu mengecewakan kelab yang besar.

Pengurus Kanan Jenama The FA, Ryan Armstrong percaya ia boleh dijadikan contoh buat kejohanan bola sepak di Malaysia dalam memberi ‘aura’ kepada kejohanan bola sepak tempatan.


“Perkara yang besar mengenai Piala FA adalah kelab kecil mempunyai peluang untuk menang menentang kelab besar, ia adalah penarik untuk kejohanan ini.

Jika kejohanan Liga Perdana Inggeris (EPL), anda sudah boleh agak siapa akan menamatkan kedudukan di tangga teratas, tetapi Piala FA penuh dengan drama, jadi itulah perkara yang boleh dinikmati oleh penyokong,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai apa yang boleh dipelajari oleh bola sepak Malaysia daripada kejohanan Piala FA dalam Majlis Jelajah Trofi Piala FA sebentar tadi.

Menurutnya, pihaknya memilih Malaysia kerana sedar akan populariti kejohanan itu di negara ini dan semangat yang ditunjukkan oleh para penyokong dalam menyokong pasukan kegemaran mereka.

Katanya, selepas ini pihaknya bercadang untuk menganjurkan lagi Majlis Jelajah Trofi Piala FA di negara ini kerana melihat sambutang yang memberangsangkan.

“Kami gembira dapat berada di Malaysia, kita lihat peminat di Malaysia begitu bersemangat dan teruja dapat melihat trofi di hadapan mereka.

Mungkin tahun depan kita akan adakan lagi jelajah di Malaysia, dan mungkin kita akan membawa pemain bersama juga.”

Sementara itu, beliau berharap peminat di negara ini turut menonton kejohanan itu daripada pusingan pertama lagi kerana terdapat kelab-kelab kecil yang turut bermain dengan baik.

Katanya, peminat boleh menjangkakan pelbagai drama daripada kejohanan itu sejak daripada pusingan pertama lagi.