Kalendar Liga Malaysia 2023 beri keutamaan kepada Harimau Malaya, tak ganggu tugasan antarabangsa – Stuart Ramalingam

752

Kalendar baharu Liga Malaysia musim 2023 disusun untuk memberi keutamaan kepada pasukan kebangsaan yang bakal beraksi dalam beberapa perlawanan antarabangsa sepanjang tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam, pihaknya meletakkan agenda nasional sebagai perkara utama apabila berbincang mengenai jadual supaya ia tidak mengganggu pasukan kebangsaan dan juga kelab yang terlibat.


“Kami telah lakukan perbincangan dengan pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan AFL (Amateur Football League) dan juga pihak stadium dengan mengambil kira tugasan besar pasukan kebangsaan.

Bukan sahaja untuk skuad senior tetapi juga pasukan B-22 dan 23 yang bakal menghadapi empat kejohanan besar tahun ini iaitu Kelayakan Piala Asia B-23, Piala AFF B-23, Sukan SEA dan Sukan Asia,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Taklimat Media Kalendar Liga Malaysia 2023 di Wisma FAM sebentar tadi.

Tambahnya, jadual baharu juga turut memberi peluang bermain sepanjang musim untuk semua pasukan dengan kejohanan baharu turut diperkenalkan.

Antaranya adalah MFL Challenge Cup di mana lapan pasukan yang tidak layak ke perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia akan bermain di kejohanan itu.

“Kita mahu semua pasukan mendapatkan perlawanan kompetitif dengan lebih banyak jadi kejohanan MFL Challenge Cup dapat memberi peluang kepada pasukan yang kalah pada pusingan awal Piala Malaysia untuk terus beraksi.

Ini adalah usaha kita untuk pastikan jumlah perlawanan ditambah dan peluang bersaing unutk semua pasukan menjadi keutamaan.”

Sementara itu, beliau berkata, untuk musim ini kalendar akan berakhir pada bulan Disember, justeru kontrak pemain juga akan tamat pada bulan Disember berbanding kebiasaan pada bulan November.

Jelasnya, dalam menyusun jadual tersebut, MFL juga telah mengambil kira kekangan dari segi cuti perayaan, cuti umum, peraturan berbeza di setiap negeri dan banyak aspek lain.