Sentiasa kerja keras tingkatkan tahap bola sepak negara, Hamidin rajin tuntut ilmu dengan pelbagai pihak

225

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sememangnya seorang individu yang sentiasa mahu tahap bola sepak Malaysia sejak memegang jawatan itu pada tahun 2018.

Antara inisiatif yang beliau lakukan ialah berjumpa dengan ramai pihak untuk berbincang untuk mendapatkan pandangan serta ilmu bagaimana mahu memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang.


Antara individu yang beliau sudah bertemu ialah Menteri Belia dan Sukan iaitu Hannah Yeoh dan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris untuk berbincang tentang pembangunan bola sepak negara.

Baru-baru ini, Hamidin turut bertemu Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA), Putera Ali mengenai pembangunan bola sepak Malaysia.

Untuk pertemuan itu beliau telah berbincang dengan Putera Ali yang juga merupakan Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Barat (WAFF) mengenai pembangunan bola sepak wanita dan akar umbi yang perlu diberi lebih penekanan dengan beberapa pendekatan yang lebih strategik.

Pertemuaan ini dilihat mampu memberi banyak kelebihan untuk Malayan Tigress serta pembangunan akar umbi bola sepak negara.

Malaysia juga baru sahaja melantik jurulatih dari Jordan iaitu Soleen Al-Zou’bi untuk skuad bola sepak wanita dan dengan pelantikan itu juga dilihat mampu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala untuk Jordan dan Malaysia.

Umum mengetahui yang bola sepak Jordan sememangnya sudah berada di satu tahap yang lebih baik daripada Malaysia.

Ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga turut menyaksikan mereka berada di kedudukan 84 dunia jauh meninggalkan Malaysia yang berada di kedudukan 145 dunia.

Bukan itu sahaja, secara kolektif bola sepak Asia Barat juga lebih bagus berbanding bola sepak rantau Asia Tenggara (ASEAN) dan pasukan negara boleh belajar sesuatu daripada pasukan negara teluk ini.

Sebelum ini Thailand sah dijemput oleh WAFF untuk menyertai Piala Asia Barat 2023 dan mana tahu pasukan Harimau Malaya juga akan diundang untuk menyertai pertandingan ini pada masa akan datang.

Selain itu, dengan pertemuan ini pasukan negara juga berkemungkinan boleh mengadakan perlawanan persahabatan yang berada dalam kalendar FIFA dengan Jordan.

Dalam pada itu, Hamidin juga merupakan calon bagi jawatan Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) mewakili Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan itu akan beri kelebihan pada beliau dalam sesi pemilihan nanti kerana dirinya banyak menjalin hubungan dengan nama-nama besar seperti Putera Ali.

Tindakan beliau untuk wujudkan satu hubungan dengan nama besar wajar dipuji kerana perkara tersebut dapat menaikkan reputasinya dalam arena bola sepak di rantau ini.

Diharapkan usaha dan inisiatif Hamidin untuk membawa bola sepak Malaysia berada di satu tahap yang lebih baik tidak akan terhenti di sini dan akan ada pihak lain yang turut sudi beri kerjasama untuk pembangunan bola sepak negara.