Siapa layak galas tanggungjawab sebagai kapten KDA FC

727

Pasukan Kedah atau kini dikenali dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merupakan salah sebuah pasukan bola sepak gergasi Utara yang mempunyai sejarah turun naik yang cukup menarik.

Namun sejak beberapa musim kebelakangan ini mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang perlu digeruni oleh mana-mana lawan apabila berjaya menduduki di tangga kedua Liga Super untuk dua musim berturut-turut.


Kejayaan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini adalah hasil daripada semangat berpasukan tinggi selain mempunyai ketua di padang yang cukup berkaliber iaitu Baddrol Bakhtiar yang sentiasa memberi dan menuntut rakan seperjuangan untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

Namun Baddrol atau lebih dikenali sebagai BB7 / Kapten Marvel telah mengejutkan seluruh peminat KDA FC apabila beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan yang diwakilinya sejak tahun 2006 untuk berhijrah ke pasukan Sabah FC bersama seorang lagi pemain kesayangan peminat iaitu Rizal Ghazali.

Dengan pemergian Baddrol ke pasukan baru telah menyebabkan KDA FC kini sudah tiada lagi ‘nakhoda’ dalam pasukan dan peminat mula tertanya-tanya siapakah di antara pemain yang sedia ada ketika ini mampu menggalas tanggungjawab sebagai kapten baru pasukan KDA FC.

Jika dilihat skuad semasa KDA FC, pemain yang dirasakan layak untuk menggalas tugas sebagai kapten adalah pemain berpengalaman seperti Syazwan Zainon, Azamuddin Akil dan Shahril Sa’ari, atau pemain muda iaitu Ariff Farhan yang mempamerkan aksi yang cukup mantap sehingga terpilih untuk menyarung jersi kebangsaan baru-baru ini di saingan Piala AFF 2020.

Untuk menggalas tugas sebagai kapten, seseorang pemain itu perlu sentiasa berada dalam kesebelasan utama dan jika berdasarkan musim ini ketiga-tiga pemain berpengalaman Syazwan, Azamuddin dan Shahril ini jarang disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun ia tidak bermakna mereka tidak layak untuk memegang lilitan kapten itu berikutan untuk musim 2022 jurulatih Aidil Sharin mempertaruhkan ramai pemain-pemain muda tempatan dan ini akan memberi peluang kepada mereka untuk kerap diturunkan.

Syazwan Zainon

Sumber foto: KDA FC Facebook

Syazwan Zainon atau lebih dikenali dengan panggilan Wan Karpet di kalangan pemain dan peminat merupakan antara calon yang paling sesuai untuk menggalas tugas sebagai kapten. Syazwan mula membuat kemunculan dalam Liga Malaysia pada tahun 2009 apabila beliau bermain untuk negeri kelahirannya iaitu Perlis FA sebelum berpindah ke Felda United FC setahun kemudian.

Habis sahaja semusim bersama Felda United FC, Syazwan berhijrah pula ke Johor FC pada tahun 2012 tetapi tidak bertahan lama apabila kembali bermain untuk Felda United FC. Bagaimanapun persembahan mantapnya telah menarik minat KDA FC pada tahun 2014.

Sepanjang tempoh empat tahun bersama KDA FC, beliau berjaya menjuarai Liga Perdana sekaligus membawa KDA FC kembali ke Liga Super. Selain itu, Syazwan juga merupakan watak penting dalam membantu pasukan merangkul pelbagai kejuaraan seperti Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Syazwan kemudian berhijrah ke Selangor selama setahun sebelum kembali bersama skuad Hijau Kuning  pada awal musim ini. Musim ini Syazwan telah membuat 15 penampilan dan berjaya menjaringkan 4 gol walaupun sering diletakkan di bangku simpanan. Dengan ketiadaan Baddrol, rasanya sudah tiba masanya Syazwan untuk bersinar kerana beliau mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin di padang. Tambahan ramai pemain-pemain muda sangat menghormatinya berikutan sikapnya yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan tunjuk ajar untuk meningkatkan kualiti permainan mereka.

Azamuddin Akil

Sumber foto: KDA FC Facebook

Seorang lagi pemain berpengalaman Azamuddin Akil atau Alex antara calon yang sesuai untuk diangkat sebagai kapten pasukan. Memulakan karier seniornya bersama Shahzan Muda yang mana kemudiannya UPB-MyTeam telah berjaya menarik perhatian pasukan gergasi Pantai Timur iaitu Pahang (kini Sri Pahang FC) pada tahun 2010 hingga ke 2015.

Alex menjadi perhatian ramai dengan permainan pantasnya semasa bersama Pahang telah menyaksikan beliau berjaya menjaringkan 49 gol bersama Pahang sebelum Johor Darul Ta’zim (JDT) melamarnya untuk semusim dan ke Selangor semusim sebelum akhirnya ke KDA FC pada tahun 2019.

Walaupun pembelian Alex pada mulanya menimbulkan persoalan daripada peminat yang mempersoalkan tindakan pengurusan berikutan Alex ketika itu dibelenggu dengan kecederaan. Bagaimanapun beliau membalas jasa KDA FC yang berjaya memulihkannya dan mendapat semula sentuhan berbisanya telah membantu pasukan mengecapi pelbagai kejayaan.

Biarpun sudah tidak diletakkan dalam kesebelasan utama, namun kemasukkan Alex di separuh masa kedua sering membawa masalah buat pertahanan lawan menerusi larian-larian pantas di sebelah tepi selain hantara tepat ke rakan sepasukan. Adakah Alex mampu galas tugas sebagai kapten? Kita tunggu dan lihat nanti.

Shahril Sa’ari

Sumber foto: KDA FC Facebook

Siapa cakap penjaga gol tidak boleh galas tanggungjawab sebagai kapten? Lihat sahaja penjaga gol JDT, Farizal Marlias yang mampu menggalas tugas itu dengan baik sekali. Shahril Sa’ari merupakan bekas penjaga gol untuk pasukan T-Team pada tahun 2009 tetapi hanya membuat dua penampilan sahaja sebelum berhijrah ke Terengganu dua tahun kemudian. Namun nasibnya masih sama apabila hanya membuat lima penampilan sahaja.

Shahril kemudian bermain untuk pasukan Harimau Muda A dengan membuat 10 penampilan. Beliau nyata tidak mendapat tempat apabila sering menjadi penjaga gol kedua. Bagaimanapun pada tahun 2016 beliau berjaya menjadi penjaga gol utama untuk pasukan Sarawak dengan 31 penampilan.

Pada tahun 2018 beliau berpindah ke PKNS FC selama setahun, kemudian ke Perlis tetapi hanya untuk beberapa bulan sahaja apabila pasukan itu berdepan masalah kewangan. Shahril bernasib baik apabila berjaya mendapat kontrak bersama PDRM FC.

Bagaimanapun nama Shahril mula menjadi perhatian ramai sejak beliau menyertai pasukan KDA FC pada tahun 2020. Walaupun menjadi penjaga gol kedua, namun peluangnya untuk pamerkan kehebatannya tercapai juga apabila penjaga gol utama Ifwat Akmal mengalami kecederaan selain persembahan tidak konsisten membuatkan Shahril menjadi pilihan jurulatih.

Shahril nyata tidak mensia-siakan kepercayaan jurulatih apabila berjaya mempamerkan aksi cemerlang dan dengan cepat mendapat pujian melambung daripada peminat. Sejak dari itu, Shahril dilihat seperti sudah merampas tahkta sebagai penjaga gol utama untuk skuad Hijau Kuning. Persembahannya telah menarik minat beberapa pasukan lain, tetapi Shahril tetap setia bersama KDA FC untuk musim hadapan.

Ariff Farhan

Sumber foto: KDA FC Facebook

Nama pemain muda pertahanan kiri ini mula menjadi perhatian peminat apabila beliau mengambil tempat pemain pertahanan kental Azmeer Yusof yang mengundurkan diri dari dunia bola sepak. Sejak dari itu, pemain berusia 25 tahun ini telah mempamerkan aksi cemerlang dan menjadi kegemaran jurulatih untuk menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.

Ariff memulakan kariernya bersama Harimau Muda A bermain di Liga S yang mana ia menjadi pemain termuda untuk beraksi di liga tersebut pada usia 16 tahun. Selepas tiga tahun bersama Harimau Muda A, Ariff berhijrah ke KDA FC selama dua musim sebelum ke PKNS FC dan Felda United FC.

Bagaimanapun selepas Felda United FC menarik diri dari saingan Liga Malaysia, Ariff kembali menyarung jersi Hijau Kuning. Sejak kembali bersama KDA FC, Ariff sering disenaraikan dalam kesebelasan utama dan antara pertahanan kiri muda yang kental. Prestasi cemerlang dan konsisten telah menarik perhatian jurulatih Malaysia iaitu Tan Cheng Hoe yang memberinya peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya untuk saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini. Dengan prestasi semasa yang dipamerkan Ariff, peminat tidak akan terkejut sekiranya beliau diberikan kepercayaan untuk galas tanggungjawab sebagai kapten.