Guilherme de Paula pikul tugas berat musim ini, jadi ‘role model’ kepada pemain JDT II dalam Liga Simpanan

881

Tatkala semua pasukan Liga Super sedang melakukan latihan pramusim, pasukan Liga Simpanan juga sedang sibuk melakukan perkara yang sama untuk menghadapi musim baru.

Semua pasukan sedang sibuk mencari keserasian pemain mereka kerana Liga Simpanan dibenarkan untuk menggunakan lima pemain yang umur mereka melebihi 23 tahun termasuklah pemain import namun, hanya tiga pemain sahaja yang dibenarkan untuk beraksi di atas padang.


Disebalik kesibukan itu, terdapat satu figura yang berjaya mencuri tumpuan penyokong bola sepak tempatan iaitu penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT) Guilherme de Paula.

De Paula dijangka akan membantu pasukan JDT II bagi menghadapi saingan Liga Simpanan musim 2023.

Meskipun kurang minit permainan bersama JDT, beliau boleh menjadi pemain contoh untuk pemain muda JDT II.

Penyerang berusia 36 tahun itu juga mempunyai aura sebagai seorang pemain senior yang sangat berpengalaman dan boleh mempengaruhi bilik persalinan JDT II serta memberi semangat untuk pemain beraksi dengan baik

Pemain naturalisasi negara itu juga mempunyai semangat juang yang tinggi dan itu dapat memberi impak yang positif kepada JDT II.

Terdahulu, De Paula menyertai JDT pada Mei 2021 dan sepanjang bersama kelab beliau hanya berjaya membuat lima penampilan sahaja.

Kesemua penampilan tersebut hanya masuk sebagai pemain gantian dan kebanyakkanya di hujung minit permainan dan sepanjang lima perlawanan tersebut beliau hanya bermain selama 35 minit sahaja.

Walaupun kariernya di JDT agak merudum tetapi tidak boleh dilupakan yang beliau pernah menjadi salah seorang penyerang terbaik di Malaysia.

Untuk rekod, ketika bersama Selangor pada tahun 2015 De Paula berjaya membuat 32 penampilan dan berjaya menjaringkan 13 gol.

Manakala untuk PDRM FC pada tahun 2016, beliau berjaya membuat 19 penampilan dan mencetak 11 gol.

Ketika bersama KL City FC pada tahun 2017 sehingga 2019 De Paula telah membuat 76 penampilan dan menjaringkan 66 gol dan di Perak FC pada tahun 2021 sehingga 2022 beliau telah membuat 22 penampilan serta mencetak 7 gol.

Diharap De Paula dapat membantu JDT II untuk menjadi sebuah pasukan yang digeruni di saingan Liga Simpanan.

Apa-apa pun semoga berjaya untuk De Paula.