Berjaya julang Piala Harapan, Manzoor Azwira akui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki sebelum liga bermula

370

Pemangku ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira bangga dengan semangat juang yang dipamerkan oleh pemainnya yang berjaya melakukan kebangkitan sebelum menewaskan Selangor FC 2-1 untuk merangkul kejuaraan Piala Harapan 2023.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kesemua pemain kerana mempamerkan semangat juang yang cukup tinggi dan tidak mudah cepat mengalah memberi petanda yang cukup positif untuk pasukan walaupun kita tahu masih banyak perkara yang perlu kita perbetulkan.

Tapi dari segi semangat tu yang saya rasa perlu puji kerana bila kita bertemu dengan Selangor saya tahu yang mereka mempunyai pengalaman dan barisan pemain yang bagus serta saya menghormati coach Tan Cheng Hoe,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Manzoor turut mengakui bahawa beliau sendiri terhibur melihat aksi yang cukup menarik dipamerkan oleh pasukan Gergasi Merah kerana kualiti yang ada pada mereka.


Perlawanan akhir Piala Harapan yang berlangsung di Stadium Batu Kawan bermula dengan seimbang apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Namun Selangor terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi rembatan padu jarak jauh oleh Mukhairi Ajmal pada minit ke-24 untuk menamatkan separuh masa pertama dengan pasukan pelawat mendahului tuan rumah.

Bagaimanapun masuk separuh masa kedua skuad Harimau Kumbang terus melancarkan serangan demi serangan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Soony Saad pada minit ke-74.

Saad menjadi wira buat skuad Penang apabila menjaringkan gol keduanya pada penghujung perlawanan minit ke-88 yang menjadi gol kemenangan.

Perlawanan malam tadi menjadi perlawanan terakhir pra-musim yang dikendalikan oleh Manzoor kerana esok (Ahad) beliau akan terbang ke luar negara untuk urusan AFC Pro Diploma.

“Saya akan berangkat ke luar negara esok (Ahad) selama tiga minggu. Rasa sedih pun ada sebab nak kena tinggal pasukan tapi itu adalah tugasan jadi saya cuba berkomunikasi dengan barisan kejurulatihan lain bagi memastikan program yang disusun berjalan dengan lancar.”

Beliau juga memberitahu beliau tidak akan dapat bersama pasukan Penang pada perlawanan pertama Liga Super yang mana mereka akan bertemu dengan KL City FC pada 25 Februari ini.