Hafizul Hakim akan bersaing untuk posisi penjaga gol utama Penang FC

1,051

Penjaga gol baru Penang FC, Hafizul Hakim memberitahu dia akan bersaing untuk mendapatkan tempat sebagai pemain utama untuk musim hadapan.

Selain Hafizul, dua pemain muda Khatul Anuar dan Shafiq Afifi dijangka akan memberi saingan sengit untuk merebut posisi penjaga gol utama.


“Tidak dapat dinafikan dua penjaga gol muda Penang mempunyai pengalaman yang agak baik kerana kedua-dua mereka pernah menyarung jersi kebangsaan. Tetapi saya tetap akan cuba yang terbaik untuk merebut posisi sebagai penjaga gol utama Penang untuk musim ini,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.

Sebelum berhijrah ke Penang, Hafizul merupakan penjaga gol utama Perak FC dan telah membuat sebanyak 96 penampilan bersama pasukan itu sejak 2016.

Terdahulu kehadiran Hafizul ke Penang melegakan peminat pasukan Harimau Kumbang selepas penjaga gol utama mereka sebelum ini iaitu Sam Somerville berhijrah ke Selangor FC.

Hafizul mengakui berasa agak janggal pada mulanya apabila menyarung jersi Penang setelah sekian lama menyarung jersi Perak.

“Mula-mula rasa janggal juga dan rasa macam tak percaya, tetapi lama kelamaan saya sudah rasa terbiasa. Tambahan pula kesemua pemain-pemain Penang menyambut kedatangan saya dengan baik dan ramah membuatkan saya rasa seperti dalam satu keluarga besar.”

Sumber foto: Penang FC Facebook

Dalam pada itu, Hafizul turut meluahkan rasa bersyukur apabila pihak pengurusan pasukan lamanya Perak telah menghubunginya untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang mendapat perhatian media sebelum ini.

“Pihak pengurusan Perak telah menghubungi saya dan minta saya datang ke pejabat pada 1 Januari ini untuk menyelesaikan tunggakan gaji selama lima bulan.

Bagaimanapun, tunggakan gaji saya akan dibayar separuh dahulu iaitu dua bulan setengah dan akan bincangkan bayaran untuk baki tunggakan.”

Sementara itu, Hafizul yang diminta mengulas mengenai prestasi penyerang sensasi Guilherme de Paula yang juga merupakan bekas rakan sepasukannya ketika saingan di Piala AFF 2020, Hafizul tidak dapat memberi komen lanjut.

“Untuk itu saya tak boleh nak komen sebab saya pernah beraksi bersama dia. Hubungan saya dengannya sebagai kawan sangat baik. Saya faham peminat banyak kritik dia tetapi sebagai kawan saya tidak mahu komen kerana saya menghormatinya.”