Cadangan penyokong : Liga bola sepak Semenanjung & Borneo perlu dipisahkan

2,942

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bola sepak di Malaysia memperlihatkan perkembangan yang cukup positif dengan saingan Liga Malaysia menjadi semakin rancak termasuk wujudkan banyak kelab-kelab bola sepak komuniti.

Dengan kewujudan banyak kelab-kelab amatur ini menyaksikan kemunculan liga sosial yang semakin banyak seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.


Perkara ini cukup positif buat industri bola sepak tanah air kerana kelab-kelab amatur ini ditubuhkan oleh mereka yang cintakan bola sepak, selain mempunyai visi dan misi yang cukup jelas termasuk pengurusan yang profesional.

Ini juga memberi ruang dan peluang bagi pemain bola sepak amatur untuk mempamerkan bakat sebenar seterusnya membuka mata pencari bakat untuk melihat pemain-pemain yang berada di liga amatur supaya diserap atau berhijrah ke kelab yang lebih besar.

Susulan itu, bagi memastikan perjuangan kelab-kelab komuniti/sosial ini hanya sekadar bermain suka-suka sahaja, pihak Amateur Football League (AFL) telah bertindak untuk mewujudkan beberapa liga mengikut hierarki.

Liga M3 menjadi liga tertinggi dalam AFL berikutan kelab-kelab yang bermain di liga tersebut bukan lagi bermain sebagai kelab amatur, tetapi kini sebagai kelab semi-profesional.

Bagaimanapun pihak AFL tidak pernah melupakan kelab-kelab kerdil yang mempunyai keinginan untuk bermain secara kompetitif apabila mewujudkan saingan Liga M4 dan Liga M5 bermula musim 2023.

Sambutan yang diterima sangat menggalakkan pada musim lalu, namun terdapat sedikit masalah yang timbul iaitu pasukan kecil dari Borneo seperti Sabah dan Sarawak pastinya berdepan masalah sekiranya mereka perlu menggembara jauh untuk perlawanan away.

Situasi yang berlaku ini akan menyebabkan kos perbelanjaan kelab di Borneo lebih tinggi berbanding perbelanjaan kelab di Semenanjung.

Perkara tersebut telah mendapat perhatian seorang pengikut/pembaca yang melontarkan cadangan bernas beliau di ruangan komen di laman Facebook rasmi Harimau Malaya iaitu memisahkan saingan liga Semenanjung dan Borneo.

Antara sebab utama ia perlu dipisahkan adalah bagi memastikan kelab-kelab yang bersaing tidak perlu mengeluarkan bajet yang besar untuk berulang-alik untuk perlawanan di Semenanjung, sebaliknya untuk saingan liga Borneo mereka hanya akan bermain dengan kelab dari zon yang sama, dan format itu turut digunakan di Semenanjung.

Dua atau empat pasukan teratas dari liga Semenanjung dan Borneo akan berentap dalam perlawanan format separuh akhir atau suku akhir secara timbal balik dan perlawanan akhir dengan pasukan juara dan naib juara berpeluang untuk naik ke Liga Perdana/M2 (MFL akan perkenalkan semula pada 2024).

Mungkin ada pihak yang akan mempertikaikan cadangan ini, namun ia adalah satu cadangan yang boleh dipertimbangkan kerana konsep atau format seperti Semenanjung dan Borneo sebenarnya turut diguna pakai di Amerika Syarikat yang mana mereka membahagian antara zon Barat dan Timur.

Jika format seperti ini dapat dilakukan, kita akan dapat melihat lebih ramai pemain muda berbakat dari Borneo yang sebelum ini tidak kelihatan dek tidak mempunyai ruang dan peluang.

Bola sepak adalah sukan rakyat dan segala cadangan, pandangan dan kritikan kita patut raikan dengan mengambil yang positif dan buang yang negatif.

Jika di Eropah mereka sudah berjaya melakukannya pastinya tidak mustahil untuk Malaysia juga mampu melakukannya.

Siapa tahu mungkin dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang Liga Malaysia akan menjadi liga terbaik bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tetapi juga di Asia.