‘Mahu dana terlebih dahulu sebelum fikir sertai BAM’

1,500

Bapa kepada pemain badminton harapan negara Dania Sofea, Zaidi Mohamad berharap agar pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat menaja anaknya untuk menyertai kejohanan badminton antarabangsa sebelum fikir sertai persatuan itu.

“Memang BAM sudah beberapa kali memberi tawaran untuk Dania bernaung di bawah BAM tetapi saya terpaksa menolak dengan baik buat masa ini kerana terlalu awal untuk anak saya sertai persatuan itu.

Tetapi saya berharap pihak BAM dapat membantu Dania seperti menajanya untuk menyertai kejohanan antarabangsa kerana jika Dania berjaya cipta kejayaan di peringkat antarabangsa, bukan Dania sahaja akan mendapat nama tetapi juga Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Zaidi turut mendedahkan bahawa anaknya juga ada mendapat tawaran daripada Persatuan Badminton Singapura (SBA).


“Kita pun tahu untuk bermain di Singapura ini perlukan masa dan bukannya mereka ambil begitu sahaja. Kita perlu buktikan di Malaysia bahawa kita yang terbaik. Kalau kita dapat kekalkan prestasi sekarang InsyaAllah untuk Malaysia boleh, untuk Singapura mungkin tidak buat masa ini, tetapi akan datang kita tak tahulah.”

Tambah Zaidi lagi, buat masa ini Dania lebih selesa dilatih oleh jurulatihnya Albert Lim dari Alberts Sports Badminton Academy.

Dalam pada itu, Zaidi turut mendedahkan bahawa satu perbincangan antara Persatuan Badminton Johor (BAJ) bersama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris telah berlaku dan berkemungkinan besar sebuah akademi badminton Johor akan ditubuhkan nanti.

Dalam pada itu Zaidi juga berharap agar sempadan Singapura dibuka semula supaya anaknya dapat bermain di kejohanan negara itu.

“Saya harap ‘border’ Singapura akan dibuka segera kerana Dania sememangnya sering bermain di sana. Selain itu, saya juga mahu bawa Dania sertai kejohanan di negara jiran lain seperti Indonesia dan Thailand kerana mempunyai persaingan yang hebat dalam sukan badminton.”

Baru-baru ini Dania telah diberi peluang untuk beraksi di Purple League Pro-Am kategori B-23 bagi menggantikan pemain yang mengalami kecederaan.

Dania telah mempamerkan aksi yang cukup bertenaga sehingga mara ke peringkat akhir dan berjaya menumpaskan pemain yang jauh lebih senior daripadanya.

Zaidi berkata kemenangan Dania itu perlu dijadikan sebagai pembakar semangat untuk anaknya terus bekerja keras kerana dia perlu mempersiapkan mental dan fizikal sekiranya mahu bermain di peringkat antarabangsa.