Pas bermusim alternatif terbaik, atasi masalah server tiket yang bermasalah

380

Keghairahan peminat bola sepak Malaysia semakin memuncak apabila Liga Malaysia bakal membuka tirai pada 24 Februari dengan aksi Piala Sumbangsih diantara pasukan Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT).

Pihak pengurusan JDT sudah mula membuka untuk pembelian tiket secara dalam talian untuk perlawanan Piala Sumbangsih menerusi laman web rasmi JDT pada 22 Februari.


Empat tiket diperuntukkan oleh setiap penyokong manakala penyokong yang memegang pas bermusim tidak perlu membeli tiket memandangkan tiket perlawanan sudah termasuk di dalam pas bermusim.

Namun, terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh penyokong kedua-dua pasukan yang menyebabkan mereka tidak berjaya untuk membeli tiket tersebut.

Antara masalah yang dihadapi oleh mereka adalah ramai yang terpaksa menunggu masa yang lama untuk mendapatkan tiket dan masih ada penyokong yang sudah mencuba banyak kali untuk membeli tiket namun masih gagal.

Penyokong juga mula hilang sabar dan mula memberi komen di media sosial Facebook dengan pelbagai masalah yang perlu mereka fikirkan seperti tidak mendapat tiket  selepas melakukan pembayaran, terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan akses pembelian tiket dan tidak mendapat pengesahan emel walaupun sudah banyak kali mendaftar sebagai pembeli tiket.

Maka pihak pengurusan JDT mengeluarkan kenyataan di media sosial rasmi JDT dengan mengatakan bahawa terdapat masalah server kerana terlalu ramai penyokong yang menyerbu ke laman web tersebut.

Menurut kenyataan rasmi JDT, Ticket Hotline sebagai operator jualan tiket sedang menyelesaikan beberapa isu yang melanda server mereka dan memastikan setiap penyokong masih boleh membeli sebelum kehabisan tiket.

Isu seperti ini sering berlaku apatah lagi melibatkan perlawanan besar seperti perlawanan akhir Piala FA dan perlawanan akhir Piala Malaysia.

Dengan itu, pas bermusim diwujudkan untuk mengatasi masalah tersebut kerana kelebihan pas bermusim akan diberi keutamaan untuk membeli tiket perlawanan sebelum dibuka oleh orang ramai.

Penyokong juga tidak perlu menunggu masa yang lama dan boleh masuk ke dalam stadium dengan menggunakan laluan khas yang disediakan oleh pihak pengurusan kelab sekiranya penyokong tersebut merupakan pemegang pas bermusim.

Malah, setiap pas bermusim yang dibeli oleh penyokong akan membantu dari segi kewangan kelab dan akan menstabilkan operasi pasukan sehingga ke akhir musim.

Diharap masalah yang berlaku untuk pembelian tiket secara dalam talian boleh diatasi dengan segera dan supaya penyokong boleh hadir ke stadium dan memberi sorakan padu kepada pasukan yang bertanding.