Harap Lee Zii Jia dapat selesaikan kes dengan Indra Wijaya di luar mahkamah supaya fokus tidak terus terganggu

267

Selepas kekecewaan pasukan Malaysia yang diketuai oleh pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia gagal mara ke separuh akhir selepas tewas pasukan China dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC), kini Lee Zii Jia berdepan satu masalah di luar gelanggang apabila beliau diberi masa tujuh hari bagi mencari jalan untuk menyelesaikan isu bersama bekas jurulatihnya, Indra Wijaya.

Isu ini berlaku selepas Indra yang melatih pemain keseorangan negara sejak Februari tahun lepas akan mengambil tindakan undang-undang menerusi mahkamah selepas Zii Jia didakwa melanggar kontrak.


Dengan prestasinya kini tidak menentu, ditambah dengan masalah di luar gelanggang, ia pasti sedikit sebanyak mengganggu fokusnya terhadap permainan.

Terdahulu, Indra telah menandatangani kontrak selama dua tahun sehingga 2024 untuk menjadi jurulatih Zii Jia selepas bekas pemain keseorangan negara meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari lalu untuk bergerak secara profesional.

Namun kekalahan demi kekalahan serta penurunan prestasi beliau di dalam beberapa kejohanan menyaksikan Zii Jia menamatkan kontrak jurulatih yang berusia 48 tahun itu pada bulan November lepas.

Sekiranya kedua-dua pihak tidak dapat menemui jalan penyelesaian di luar mahkamah, maka Zii Jia pastinya akan lebih ‘sibuk’ kerana terpaksa berulang-alik ke mahkamah.

Malah isu ini akan berlarutan dan beliau mungkin akan berdepan dengan tuntutan mahkamah di mana perlu membayar ganti rugi sekiranya bersalah.

Isu seperti ini sebaiknya diselesaikan di luar mahkamah supaya ia tidak mengganggu fokus Zii Jia memandangkan pelbagai kejohana yang bakal dilaluinya selepas ini.

Sukar untuknya kekal fokus sekiranya terdapat kes mahkamah yang perlu diselesaikan di luar gelanggang dan menyebabkan beliau sukar untuk membangkitkan semula prestasinya.

Kelayakan ke Olimpik Paris 2024 akan bermula pada Mei ini, dan sekiranya prestasinya terus merudum, mungkin harapan untuk melihat beliau menggalas harapan negara di kejohanan tersebut terkulai.

Tahun lalu, beliau tidak berjaya melayakkan diri ke kejohanan BWF World Tour Finals dan pastinya peminat tidak mahu melihat perkara itu berlaku lagi.

Berkemungkinan beliau juga tidak akan menjadi pilihan utama dalam pasukan Malaysia dan akan digantikan dengan pemain yang lebih berpotensi untuk pergi lebih jauh sekiranya beliau masih gagal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh beliau.

Diharap masalah Zii Jia bersama bekas jurulatih beliau dapat diselesaikan dengan cara yang baik agar beliau dapat fokus dan terus kekal berlatih memandangkan kejohanan Badminton Terbuka German yang dijalankan di Mulheim, Germany pada 7-12 Mac semakin hampir untuk beliau meraih gelaran pertama pada tahun ini.