Selain pendidikan, adakah imigran juga perlu diberi akses kepada aktiviti sukan?

232

Kehidupan sebagai seorang imigran amatlah perit apabila terpaksa memulakan kehidupan di negara orang dengan sekangkang kera.

Lebih-lebih lagi untuk mendapatkan akses kepada perkara asas seperti tempat tinggal, makanan, pendidikan dan sebagainya, ia adalah satu cabaran bagi mereka.


Di Afghanistan, selepas Taliban mengambil alih kuasa pada pertengahan 2021, puluhan ribu warga negara itu bertindak melarikan diri ke luar negara, terutamanya wanita.

Antaranya adalah skuad pembangunan wanita Afghanistan yang menyeberangi sempadan Pakistan, sebelum terbang ke United Kingdom (UK).

Bekas kapten skuad wanita Afghanistan, Khalida Popal, yang juga pernah melatih pasukan remaja negara itu merupakan antara individu penting dalam membawa skuad tersebut terbang ke UK.

Beliau berkongsi pengalaman dan inspirasinya untuk membawa skuad itu keluar dari Afghanistan dalam satu temu ramah dengan media UK, di mana beliau berkata hak wanita untuk bersukan di sana tertutup dan berdepan bahaya jika meneruskan aktiviti sukan.

Malaysia juga adalah antara negara yang menerima pelarian daripada negara lain seperti warga Rohingya, Palestin, Syria dan lain-lain.

Saban tahun, ada sahaja badan-badan hak asasi manusia yang memperjuangkan hak asasi mereka termasuk dari segi penempatan, pendidikan dan lain-lain.

Selain daripada perkara-perkara asas tersebut, adakah mereka juga berhak mendapatkan akses untuk bersukan?

Sudah pasti sebagai warga asing, mereka pastinya berdepan kesukaran untuk bergiat aktif dalam bersukan atau beriadah kerana tidak mempunyai fasiliti sendiri, ditambah dengan segelintir warganegara yang tidak mengalu-alukan mereka contohnya warga Rohingya.

Walaupun ada daripada anak imigran yang telah menjadi warganegara sah, mereka tetap sukar mendapatkan akses seperti warganegara.

Jika dilihat dari sudut positif, sekiranya mereka juga mempunyai akses untuk terlibat dalam sukan, mungkin bakat-bakat baharu boleh dicungkil satu hari nanti.

Siapa tahu mungkin satu hari nanti ada dari kalangan imigran atau keturunan mereka dapat mewakili negara di peringkat antarabangsa, seperti juga program naturalisasi yang berlaku dalam sukan bola sepak.

Di luar negara juga, ramai sahaja atlet terkemuka yang dahulunya merupakan pelarian atau keturunan pelarian dari negara lain dan kemudiannya menjadi bintang di negara yang mereka duduki seperti Zinedine Zidane, Fabrice Muamba dan Victor Moses dalam bola sepak, dan Luol Deng dalam sukan bola keranjang.