Pemain senior memang bijak lakukan provokasi tetapi kami sudah bersedia – Noor Zaidi Rahmat

270

Ketua Jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Noor Zaidi Rohmat mendedahkan bahawa beliau telah melakukan persediaan buat anak-anak buahnya supaya tidak termakan dengan provokasi pihak lawan.

Menurutnya, bermain dengan lawan yang lebih berusia pastinya satu cabaran buat anak buahnya kerana pemain senior bijak menggunakan perang psikologi.


“Itu adalah perkara pertama yang kita sudah lalui sebelum ini di mana pemain yang lebih berusia bijak melakukan provokasi dan bermain psikologi.

Jadi saya sudah melakukan persediaan bersama pemain dan mereka berjaya menyerap segala provokasi dan mainan psikologi,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan Piala MFL menentang PDRM B-23 yang menyaksikan anak-anak buahnya tewas 2-1.

Walaupun tewas, beliau berpuas hati dengan persembahan para pemain kerana menunjukkan peningkatan.

“Saya memang gembira walaupun baru sahaja bersama pasukan ini tetapi mereka cepat faham taktikal yang saya mahu terapkan, cuma perbezaannya adalah bermain menentang pemain senior dan import.

Saya boleh katakan mereka sudah tunjukkan hampir 100 peratus yang saya mahukan, saya yakin mereka akan belajar daripada kesilapan dan menjadi lebih baik.”

Katanya ini barulah permulaan dan terdapat banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki oleh pasukannya.

Beliau juga turut gembira apabila melihat pemainnya menikmati persembahan mereka di atas padang dan menunjukkan mereka mampu bersaing dengan pemain senior dan import.