Saya tak puas hati lagi persembahan pasukan, lepas ini lawan JDT banyak kerja rumah perlu dilakukan – Anuar Udin

300

Ketua Jurulatih PDRM B-23, Anuar Udin masih belum berpuas hati dengan persembahan para pemainnya walaupun mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan pertama Piala MFL menentang Skuad Projek FAM-MSN sebentar tadi.

Menurutnya, masih banyak kesilapan yang perlu diperbaiki oleh pasukannya, lebih-lebih lagi bakal berdepan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II selepas ini.


“Permulaan yang baik buat kita walaupun bergelut untuk bermain kerana keadaan padang yang basah tetapi selepas ini kita harus lakukan persediaan lebih lagi.

Walaupun menang, saya tak puas hati kerana kita lakukan terlalu banyak kesilapan, selepas ini kita akan lawan JDT  jadi lebih banyak kerja rumah yang kita perlu lakukan,”

katanya.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian menurutnya adalah ketumpulan penyudah yang menyebabkan mereka mensia-siakan banyak peluang.

Beliau berkata, dalam banyak-banyak percubaan yang dilakukan, hanya dua sahaja yang diterjemahkan menjadi gol.

“Kita ada lebih kurang 20 peluang tetapi hanya berjaya menjaringkan dua gol sahaja.

Kita faham pasukan lawan menggunakan pemain muda jadi tekanan agak dirasai oleh mereka, tetapi ia bagus juga buat pemain mereka belajar.”

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa anak buahnya memerlukan masa lagi memandangkan mereka adalah pasukan yang baru sahaja dibentuk.

Beliau tetap gembira pasukannya berjaya membawa pulang tiga mata walaupun berdepan kesukaran.