Lee Zii Jia tawar penyelesaian luar mahkamah, namun ada kemungkinan Indra Wijaya tolak atas sebab tertentu

1,095

Isu panas membabitkan pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia dengan bekas jurulatihnya, Indra Wijaya dilihat umpama episod yang tiada kesudahan.

Jurulatih berasal dari Indonesia itu dimaklumkan masih belum memutuskan untuk menerima cadangan daripada LZJ Management Sdn Bhd (LZJMSB) untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah dengan tarikh akhir diberi sehingga 13 Mac ini.


Sebelum ini, Indra mengambil tindakan undang-undang selepas kontraknya ditamatkan pasukan Zii Jia pada November tahun lalu yang sepatutnya berakhir pada tahun 2024.

Dari sudut pandangan Indra, tindakan Lee Zii Jia itu mungkin tidak boleh dimaafkan walaupun tawaran telah dibuat kerana dilihat tidak profesional kerana telah melebihi tempoh masa yang ditetapkan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) iaitu selama tujuh hari dari tarikh 23 Februari lalu.

Beliau juga pastinya sukar untuk memaafkan bekas anak buahnya itu selepas dipecat sebelum kontraknya tamat.

Berkat Indra, Zii Jia berjaya merangkul gelaran sebagai juara Asia, juara Terbuka Thailand, dan naib juara Terbuka Denmark sepanjang hampir 10 bulan beliau berkhidmat sebagai jurulatih pemain nombor empat dunia itu.

Terdapat kemungkinan Indra memutuskan untuk menyelesaikan perkara itu di mahkamah kerana sedar akan nilai pampasan yang layak diterimanya adalah lebih besar.

Beliau juga mungkin mahu menjadikan kes itu sebagai ‘pengajaran’ buat Zii Jia dan juga pemain-pemain lain yang mungkin akan bekerjasama dengan beliau pada masa hadapan.

Sekiranya perkara itu berlaku, sudah tentu ia satu perkara yang kurang baik untuk Zii Jia kerana boleh mengganggu fokusnya di dalam gelanggang.

Namun, Indra sememangnya ada hak untuk berbuat demikian kerana beliau sepatutnya masih melatih pemain itu hingga ke temasya Olimpik 2024 di Paris.

Walaubagaimanapun, peminat pastinya mengharapkan supaya perkara itu dapat diselesaikan di luar mahkamah supaya ia tidak mengganggu fokus Zii Jia.

Apa-apa pun, semoga kedua-dua pihak dapat mencapai kata sepakat dan menyelesaikan perkara itu dengan baik tanpa sebarang dendam.