Lee Zii Jia perlukan bantuan, bimbingan daripada legenda atau berlatih di luar negara boleh dipertimbangkan

360

Pemain badminton perseorangan utama negara, Lee Zii Jia tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Jerman semalam selepas dikejutkan oleh pemain dari Taiwan, Lee Chia Hao.

Selepas perlawanan itu, Zii Jia meluahkan kekecewaannya dengan memuatnaik satu hantaran Intastory dengan ayat “I’m f***ing done”.


Ia jelas menunjukkan mental pemain nombor empat dunia itu benar-benar sedang berada di tahap yang paling bawah dan memerlukan bantuan.

Sejak berpisah dengan bekas jurulatihnya, Indra Wijaya, beliau tidak pernah mara lebih daripada pusingan 16 terakhir dalam mana-mana kejohanan yang disertai.

Seolah-olah ada ‘badi’ yang menyebabkan beliau sukar untuk menampilkan persembahan yang terbaik setiap kali turun ke gelanggang, walaupun berdepan lawan yang kurang ternama.

Dengan penurunan prestasi yang mendadak ini, harus diakui bahawa beliau sebenarnya memerlukan pertolongan bagi ‘memulihkan’ kembali dirinya.

Piliihan utama yang mungkin boleh membantu Zii Jia kembali ke prestasi terbaiknya adalah dengan mendapatkan pertolongan daripada ‘otai’ dalam sukan badminton di negara ini iaitu Datuk Misbun Sidek dan juga Datuk Lee Chong Wei.

Selepas berpisah dengan Indra, beliau memutuskan untuk bergerak tanpa bimbingan jurulatih, dan mungkin ini masanya untuk beliau memikirkan semula perkara itu.

Dengan bimbingan daripada Misbun dan Chong Wei, ia pastinya dapat membantu Zii Jia meningkatkan semula tahap permainannya.

Hasil bimbingan Misbun berjaya menjadikan Chong Wei pemain nombor satu di dunia dengan rekod paling lama, dan menyaksikan beliau meraih banyak kejohanan besar.

Namun, tidak mudah untuk berada di bawah bimbingan Misbun kerana beliau diketahui amat mementingkan disiplin dan mental yang kuat.

Ramai sebenarnya sebelum ini yang tidak cukup kuat untuk mengikuti rejim latihan yang diterapkan oleh Misbun.

Chong Wei pula beberapa kali menyuarakan beliau bersedia untuk membantu Zii Jia dari segi motivasi, membantu pemain itu mendapatkan semula keyakinannya dan bangkit daripada prestasi yang merudum

Sekiranya Zii Jia akhirnya membuat keputusan untuk menerima tunjuk ajar kedua-dua legenda badminton dunia itu, beliau harus bersedia dari segi fizikal dan mental.

Namun, jika beliau masih enggan dibimbing oleh seorang jurulatih, beliau mungkin boleh mempertimbangkan untuk berlatih di Dubai seperti juara dunia 2022, Viktor Axelsen, dan juara dunia 2021, Loh Kean Yew serta beberapa bintang lain.

Sudah tentu dengan menjalani sesi latihan dengan ramai pemain terbaik dunia akan meningkatkan lagi tahap permainannya berbanding berlatih dengan rakan sepelatihnya ketika ini iaitu Liew Daren.

Perkara itu turut diakui oleh seorang lagi pemain badminton negara, Cheam June Wei yang memberi komen positif selepas mengikuti sesi latihan di sana.

Tambahan pula, dengan berada di luar negara, beliau dapat ‘lari’ sebentar daripada tekanan yang dihadapi di Malaysia.

Beliau pasti dapat berlatih dengan lebih aman tanpa gangguan luar sekiranya berlatih di luar negara.

Apa yang pasti, Zii Jia ketika ini memerlukan bantuan untuk mengembalikan semula keyakinan dan prestasinya seperti dahulu.

Namun, ia semua terpulang kepada dirinya sendiri sama ada mahu melakukan perubahan atau tidak.

Pastinya peminat badminton negara mengharapkan beliau dapat kembali ke kemuncak kerana beliau merupakan antara harapan negara pada Sukan Olimpik 2024 nanti.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen