Norza masih ambil berat kebajikan bekas pemain BAM, S Kisona ada peluang diserap semula ke badan induk itu

109

Pemain badminton profesional negara, S Kisona secara rasmi menerima tajaan bernilai RM100,000 daripada Matrix Concepts Holdings Bhd dalam satu majlis yang diadakan semalam.

Pemain yang berada di ranking 48 dunia itu percaya dengan penajaan itu beliau mampu layak ke Sukan Olimpik 2024 dan berharap dapat berada di ranking 20 terbaik menjelang awal tahun depan.


Majlis menyerahkan penajaan itu turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria yang menyerahkan cek kepada pemain itu.

Walaupun Kisona kini sudah tidak lagi berada di bawah ‘bumbung’ BAM, beliau tetap hadir bagi memberikan sokongan kepada bekas pemain yang pernah bernaung di bawah persatuan itu.

Ketika berada di BAM dahulu, Kisona sentiasa dihantui oleh masalah kecederaan lutut yang menyebabkan beliau tidak lagi menjadi pilihan dan akhirnya dilepaskan.

Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa beliau sebenarnya mempunyai postensi yang baik dan merupakan antara pemain wanita terbaik yang ada ketika ini.

Justeru mungkin Norza sendiri melihat potensi yang ada pada Kisona dan sentiasa memantau pemain itu walaupun tidak lagi bersama BAM.

Selain itu, Kisona juga masih mempunyai potensi untuk tampil pada Sukan Olimpik 2024, justeru Norza yang juga merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mungkin melihat pemain itu sebagai salah seorang yang akana mewakili Malaysia di kejohanan itu.

Dalam pada itu, penajaan ini pastinya akan meningkatkan moral Kisona untuk kembali kepada prestasi terbaiknya.

Sekiranya beliau mampu bangkit untuk berada di tahap terbaik semula, mungkin satu hari nanti BAM akan ‘melamarnya’ kembali untuk bersama badan itu.