Stadium Sultan Muhammad Ke-IV bakal guna rumput jenis Zeon Zoysia

1,473

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman telah memberi bayangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV bakal menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia tidak lama lagi.

Norizam atau lebih dikenali dengan panggilan Zamsaham dalam kenyataan di media sosial miliknya memberitahu bahawa beliau sudah pun menghantar surat kepada Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh untuk berterima kasih kerana prihatin dengan bola sepak tanah air.


“Terima kasih YB Menteri KBS Hannah Yeoh yang prihatin akan keperluan Bola Sepak Malaysia.

Saya secara peribadi dah hantar surat kepada beliau demi #TRW,”

tulisnya di Facebook miliknya.

Zamsaham tidak melepaskan peluang untuk menerima geran rumput oleh Kementerian Beliau Dan Sukan (KBS) yang bersedia untuk memberikan geran rumput jenis Zeon Zoysia kepada semua stadium milik kerajaan negeri untuk dinaik taraf.

Ini adalah tindakan tepat oleh Kelantan kerana mempunyai keinginan untuk menaik taraf rumput padang dek sering dikritik kerana kualiti padang di stadium mereka tidak rata.

Malahan, ketua jurulatih Perak FC iaitu Datuk Lim Teong Kim sebelum ini juga mengkritik kualiti padang dengan berkata ‘bola melompat-lompat seperti katak’.

Walaupun kritikan itu pedas, namun apa yang diperkatakan oleh Teong Kim itu sememangnya benar kerana pada satu lagi perlawanan di stadium tersebut yang membabitkan pasukan Kelantan United FC dan Kedah Darul Aman FC juga penonton dapat melihat pergerakan bola di atas padang melantun-lantun dan ini menyukarkan pemain untuk bermain secara hantaran pendek.

Menaik taraf padang bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti corak permainan, tetapi juga dapat mengurangkan risiko pemain mengalami kecederaan kerana keadaan padang yang cukup baik.

Jika ia mendapat kenyataan, Kelantan akan menjadi kelab kedua di Liga Super yang akan menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selepas Johor Darul Ta’zim (JDT).