Memang sedih dilepaskan BAM, tetapi saya mahu buktikan mereka salah dan saya masih lagi terbaik – Myisha Khairul

2,035

Pemain badminton perseorangan wanita negara, Myisha Mohd Khairul mahu membuktikan beliau masih lagi antara pemain yang terbaik di negara ini walaupun kini sudah tidak lagi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau mengakui apabila pertama kali mengetahui namanya dilepaskan oleh BAM, beliau merasa sedih tetapi menerima keputusan tersebut.


“Memang saya sedih kerana badminton ini jiwa saya tetapi mungkin kerana keputusan dan pencapaian saya tidak memuaskan jadi saya terima saja.

Sekarang ini saya sasar untuk dapatkan keputusan yang baik dari kejohanan-kejohanan yang disertai supaya pihak BAM tahu yang saya masih antara yang terbaik di Malaysia dan buktikan mereka salah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, beliau mendapat sokongan daripada keluarga dan juga rakan-rakan yang memberikan kata-kata motivasi kepadanya untuk tidak berputus asa selepas dilepaskan oleh BAM.

Myisha berkata beliau kini sedang cuba mendapatkan penajaan selepas bergelar pemain profesional, terutamanya untuk membantu perbelanjaan menyertai kejohanan.

“Sekarang semuanya bergantung kepada diri sendiri, kalau nak sertai kejohanan pun perlu keluarkan modal jadi saya masih mencari jenama yang boleh menjadi penaja saya.

Lepas dapat penaja baru boleh pergi lebih jauh, kerana jika tiada penaja, susah untuk sertai kejohanan antarabangsa untuk dapatkan mata ranking.”

Menurutnya, setakat ini beliau masih belum berfikir untuk mencari jurulatih persendirian kerana masih mempersiapkan diri untuk menyambung pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang sains sukan.

Jelas beliau, selepas itu barulah beliau akan memberi fokus semula kepada kerjaya badmintonnya.