Myisha boleh capai ranking 20 terbaik dunia, jadi pemain nombor 1 negara jika ada sokongan – Mohd Khairul Hood

816

Bapa kepada pemain badminton perseorangan wanita negara, Myisha Khairul iaitu Mohd Khairul Hood percaya anaknya mampu berada di ranking 20 terbaik dunia walaupun sudah tidak lagi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Walaubagaimanapun, beliau berkata bahawa Myisha memerlukan penaja bagi memastikan anaknya mampu menyertai kejohanan antarabangsa dengan kerap.


“Pada pendapat saya Myisha boleh pergi hingga ke 20 terbaik dunia tetapi beliau perlukan penaja untuk capai ranking itu kerana dalam setahun beliau perlu pergi sekurang-kurangnya lapan hingga 10 kejohanan.

Saya tidak berkemampuan untuk hantarnya, sekiranya ada penaja beliau mampu melangkah lebih baik, rankingnya sedikit jatuh sekarang tetapi masih lagi boleh perbaiki,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, tanpa penajaan, sukar untuk Myisha mengejar ranking kerana tidak dapat menyertai kejohanan antarabangsa, malah boleh jatuh dengan mendadak.

Myisha kini menduduki ranking ke-143 BWF, manakala ranking terbaiknya adalah ke-120 yang dicapainya pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, beliau berkata bahawa ketika mula-mula Myisha dilepaskan oleh BAM, anaknya itu berasa amat kecewa dan selepas beberapa minggu barulah semangatnya datang semula.

“Masa baru keluar BAM beliau agak sedih, saya faham perasaannya. Tetapi lepas beberapa minggu duduk rumah tidak buat apa-apa, Myisha datang berjumpa saya dan kata beliau mahu terus bermain.

Saya lihat beliau bersemangat saya pun turut sama bersemangat, saya nak lihat beliau berjaya dan nikmati sukan yang beliau cintai ini.”

Tambahnya, jika Myisha mampu bangkit dan menunjukkan konsistensi, beliau mampu menjadi pemain nombor satu negara dalam masa satu atau dua tahun.