Saya akan jumpa Lee Zii Jia selepas beliau pulang ke Malaysia – Hannah Yeoh

221

Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh mengakui masih belum bertemu dengan pemain perseorangan negara Lee Zii Jia.

Hannah berkata demikian bagi menjawab persoalan pihak media yang menantikan perkembangan hasil pertemuan beliau bersama Zii Jia.


“Saya tahu ramai yang nak tanya pasal Lee Zii Jia, kita tunggu dia balik dulu. Semua nak tanya bila saya nak jumpa Zii Jia. Kita tunggu dia balik dulu,”

katanya ringkas.

Ramai yang ternanti-nanti pertemuan antara Menteri KBS dan Zii Jia kerana sebelum ini Hannah pernah menyuarakan hasratnya untuk mengadakan pertemuan ‘hati ke hati’ dengan jaguh badminton negara itu bagi mengetahu punca prestasinya merudum termasuk cuba membantu cari jalan penyelesaian.

Baru-baru ini Zii Jia sekali lagi gagal di kejohanan Seluruh England apabila beliau tewas di peringkat separuh akhir.

Namun dalam kejohanan Terbuka Swiss 2023 yang sedang berlangsung ketika ini, Zii Jia berjaya mara ke pusingan 16 dan bakal menentang pemain dari Ireland iaitu Nhat Nguyen untuk cuba mara ke suku akhir.

Dalam pada itu, Hannah yang ditemui pada majlis siding media di KBS sebentar tadi telah memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat perubahan untuk penganjuran acara sukan yang mana pihaknya akan mempercepatkan kelulusan bagi merancakkan aktiviti sukan negara.

“Dalam usaha merangsangkan dan menggalakkan aktiviti sukan di peringkat akar umbi seterusnya mencapai misi membudayakan sukan dikalangan rakyat, KBS telah memutuskan untuk semua acara sukan tempatan yang dianjurkan oleh badan sukan samada persatuan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah serta kelab yang berdaftar tidak perlu mendapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan.

Bagaimanapun badan sukan perlu pastikan bahawa semua pertandingan dan acara sukan yang dibenarkan, dijalankan atau disertai adalah mengikut garis panduan yang diiktiraf termasuk langkah keselamatan untuk semua.”

Tambahnya lagi, pertandingan acara sukan tempatan yang dianjurkan oleh pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk agensi-agensi kerajaan juga tidak perlu dapatkan kelulusan.

Pada masa sama kesemua penganjur juga mematuhi pelaksanaan Kod Sukan Selamat.

Sementara itu, Hannah juga memberitahu pihak KBS akan membuat semakan semula ke atas Akta 576 dan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Pembangunan Sukan (Pelesenan) 2019 untuk beri penekanan aspek keselamatan.